Sistem cukai utamakan kepentingan rakyat – PM

LocalPolitics
21 Aug 2026 • 6:50 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sistem cukai utamakan kepentingan rakyat – PM

KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak akan dikembalikan namun beberapa kom­ponen tertentu da­lam sistem cukai itu akan diambil bagi menambah baik pelaksa­naan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang penambahbaikan terhadap sistem percukaian perlu mengambil kira kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan kelompok miskin.

Menurut beliau, kerajaan boleh membuat penyesuaian terhadap SST termasuk mengambil beberapa elemen GST sekiranya langkah itu dapat memperkemas sistem percukaian negara.

“Kita boleh membuat beberapa penyesuaian atau menambah baik SST malah mengambil beberapa komponen GST jika perlu.

“Tetapi prinsip utama Kerajaan Madani adalah tidak me­ngenakan cukai kepada golongan yang sangat miskin. Oleh itu, GST sebagai satu prinsip tidak boleh dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan TikTok Shop Summit Malaysia 2026 di sini semalam.

Anwar berkata, kerajaan pada masa sama perlu memastikan sebarang perubahan terhadap sistem percukaian tidak menambah beban kepada rakyat yang berada dalam kelompok pendapatan te­rendah.

Katanya, GST dalam bentuk asal merupakan cukai menyeluruh yang boleh memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan miskin.

“Saya tidak bersedia mempertimbangkan asas utama GST kerana ia merupakan cukai menyeluruh yang dikenakan kepada semua rakyat termasuk golongan paling miskin,” katanya.

Mengulas kemungkinan pe­laksanaan cukai terhadap pembayaran elektronik, Perdana Menteri berkata, sebarang cadangan berkaitan perlu dinilai berdasarkan kerangka percukaian negara secara menyeluruh.

Katanya, kerajaan akan terus mengambil pendekatan percukaian yang lebih adil dan bersasar bagi memperkukuh hasil negara tanpa menjejaskan kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

Menurutnya, usaha meningkatkan hasil negara perlu dilaksanakan secara seimbang dengan keperluan melindungi kelompok rentan yang masih berdepan tekanan kos sara hidup.

Katanya, kerajaan akan terus menilai kaedah terbaik untuk memperkukuh sistem percukaian negara termasuk menambah baik SST berdasarkan keperluan semasa.

“Yang penting, kita mahu sistem percukaian yang lebih baik, adil dan tidak membebankan golongan yang paling memerlukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, Malaysia kekal dengan pendirian berhubung Dasar Satu China yang telah diamalkan sejak era Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Perdana Menteri menjelaskan, pendirian itu kekal meskipun kenyataannya mengenai Taiwan dalam wawancara bersama Al Jazeera baru-baru ini menerima kritikan daripada pelbagai pihak.

“Dasar Satu China telah di­amalkan sejak zaman Tun Abdul Razak. Pada pandangan saya, dasar itu kekal dan kita akan terus mempertahankannya,” katanya.

Anwar berkata, kenyataannya berhubung Taiwan dibuat berdasarkan pendirian konsis­ten mengenai prinsip integriti wilayah sesebuah negara.

Menurut beliau, pendirian itu turut selari dengan pendekatan yang diamalkan Amerika Syarikat yang tidak membenarkan mana-mana wilayahnya berpisah selepas Perang Kemerdekaan Amerika.

“Saya percaya pendirian itu adalah betul. Amerika Syarikat sendiri melalui Perang Kemerdekaan Amerika dan tidak membenarkan mana-mana wi­layahnya berpisah. Jadi saya hanya mengambil pendirian yang konsisten,” katanya.

Pada masa sama, beliau me­negaskan Malaysia menghormati pendirian China berhubung isu Taiwan namun berpandangan penyelesaian secara aman me­rupakan pendekatan terbaik bagi menangani sebarang pertikaian.

Anwar berkata, pendirian Malaysia itu juga selaras de­ngan pengiktirafan antarabangsa terhadap Dasar Satu China yang diterima di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“China diiktiraf sebagai satu negara manakala satu lagi dirujuk sebagai Taiwan. Jadi apa yang saya nyatakan bukanlah sesuatu yang baharu,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan cara isu berkenaan diketengahkan dalam wawancara tersebut menjadi antara faktor yang mencetuskan kritikan.

Sementara itu, Anwar yang merupakan Pengerusi Harapan (PH) memaklumkan, Jawatan­kuasa Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung kerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Katanya, perbincangan tersebut akan melibatkan Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setia­usaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.-UTUSAN.

The post Sistem cukai utamakan kepentingan rakyat – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved