
PETALING JAYA: Pelakon, Nad Zainal, mengakui telah menetapkan syarat supaya tiada sebarang babak bersentuhan sebelum menerima mana-mana tawaran berlakon.
Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin, 36, berkata, ia merupakan satu ketetapan baginya selepas dia mengambil keputusan untuk berhijab sejak lima tahun lalu.
“Saya rasa keputusan memakai tudung sejak lima tahun lalu tidak memberi sebarang masalah untuk terus berlakon dan bakat saya tetap diperakui.
“Walaupun bertudung melimitkan saya untuk watak tertentu, sebagai seorang Muslimah, saya sememangnya patut mengelakkan babak bersentuhan.
“Itu sahaja yang menjadi garis panduan saya dan saya akan jelaskan terlebih dahulu kepada mana-mana pengarah mengenai syarat tiada persentuhan.
“Mengambil contoh pelakon lain seperti Mira Filzah dan Neelofa yang telah berhijrah, mereka juga menetapkan garis panduan yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut pelakon drama Takdir Yang Tertulis ini, dia melihat industri hiburan tempatan kini semakin matang dan peka terhadap sensitiviti pelakon wanita bertudung.
“Saya rasa ramai pengarah yang sudah faham dan cakna mengenai perkara ini. Malah, kita dapat lihat banyak drama tempatan yang berjaya walaupun diterajui oleh pelakon-pelakon berhijab,” katanya.
Nad berkata, kualiti lakonan sebenar dinilai menerusi mainan emosi yang disampaikan kepada penonton, bukannya babak bersentuhan semata-mata.
“Jadi, boleh dikatakan perkara ini langsung tidak menjadi masalah buat diri saya sepanjang bergelar pelakon. Memang tidak ada masalah langsung untuk saya terus berlakon walaupun menjaga batas,” katanya.
Untuk rekod, Nad Zainal mula tampil berhijab sekitar akhir Oktober 2022, bermula dengan perkongsian foto bertudung semasa penggambaran di Thailand sebelum konsisten berhijab penuh tidak lama selepas itu.
The post Cuma elak babak bersentuhan, saya rasa pengarah faham sensitiviti pelakon berhijab – Nad Zainal appeared first on Utusan Malaysia.






