
TUMPAT: Cuti Hari Malaysia yang lazimnya menyaksikan kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini, lengang apabila kemasukan rakyat Malaysia ke Thailand dilihat berkurangan, semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia di pintu sempadan Malaysia-Thailand itu mendapati, tiada barisan panjang kenderaan Malaysia untuk melepasi sempadan termasuk sehingga ke luar pagar ICQS seperti kebiasaannya pada cuti umum.
Keadaan itu dipercayai susulan kebimbangan terhadap keselamatan berikutan pergolakan di Selatan Thailand, terutama selepas berlaku 51 insiden keganasan di negara berkenaan, baru-baru ini.
Seorang penduduk, Mat Rani Dollah, 55, berkata, kemasukan pelancong Malaysia ke Thailand dilihat semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.
Katanya, tiada kenderaan beratur panjang sehingga kira-kira 500 meter di luar pagar ICQS Pengkalan Kubor seperti lazimnya.
“Biasanya cuti panjang, kenderaan beratur hingga 500 meter, tetapi hari ini lengang. Walaupun ada rakyat Malaysia yang masuk ke Thailand tetapi tidak ramai dan suasana agak sepi di sini,” katanya.
Seorang pelancong, Norhayati Abdullah, 30, berkata, dia tidak perlu beratur panjang menunggu feri untuk menyeberangi Sungai Golok ketika berkunjung ke Thailand.
Katanya, keadaan itu agak berbeza walaupun Hari Malaysia merupakan cuti umum yang kebiasaannya menyaksikan ramai rakyat Malaysia memilih Thailand sebagai destinasi percutian.
“Biasanya hari cuti umum memang sesak apabila rakyat Malaysia memilih negara Thailand untuk melancong. Tetapi kali ini pelancong Malaysia masih lagi takut untuk mengunjungi Thailand kerana negara itu masih bergolak,” ujarnya.
Norhayati berkata, dia ke Thailand atas urusan keluarga dan tetap berhati-hati sepanjang berada di negara jiran itu. – UTUSAN
The post Cuti Hari Malaysia, rakyat Malaysia tidak masuk Thailand appeared first on Utusan Malaysia.






