
Tentera Darat Malaysia memanfaatkan teknologi dron bagi meningkatkan kecekapan kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan pergolakan di selatan Thailand.
MELAKA: Tentera Darat Malaysia (TDM) kini memanfaatkan kecanggihan teknologi dron bagi meningkatkan kecekapan kawalan keselamatan di kawasan sukar dicapai sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, terutamanya berikutan pergolakan yang berlaku di selatan negara jiran itu.
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman berkata penggunaan teknologi itu membolehkan TDM mengatasi kekangan bentuk muka bumi berbukit dan hutan tebal dengan lebih berkesan, yang selama ini sukar dironda secara fizikal oleh anggota tentera.
“Memang betul, ia (sempadan) mempunyai kawasan yang panjang, ada ruang yang tidak boleh kita ronda disebabkan bentuk muka bumi.
“Jadi aset udara tersebut bertindak mengumpul maklumat dan gambaran awal secara masa nyata sebelum unit di darat digerakkan bagi melaksanakan tindakan susulan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Majlis Penutup Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat (UKMTD) di Kem Terendak, Sungai Udang di sini hari ini.
Mengenai situasi keselamatan terkini susulan perkembangan isu di selatan Thailand serta risiko elemen luar untuk menceroboh jajaran sempadan, Azhan memberi jaminan kawalan sempadan negara kekal diperketat menerusi operasi 24 jam tanpa henti.
“Kita tidak menafikan faktor muka bumi memberi ruang kepada lorong tikus, Alhamdulillah setakat ini keadaan terkawal dan kita akan pastikan tidak ada sebarang unsur yang boleh menembusi sempadan kita, tiada kompromi.
“Anggota pula dibekalkan dengan Rules of Engagement yang jelas iaitu tindak balas yang tegas dan keras akan diambil serta merta,” tambahnya.
Dalam pada itu, mengulas kolobrasi antara TDM dan tentera Rusia, Azhan menjelaskan lawatan rasmi beliau ke negara tersebut baru-baru ini atas jemputan Russian Ground Forces bagi memperkasakan hubungan diplomasi ketenteraan dua hala.
“Fokus utama perbincangan dengan rakan sejawat di Rusia merangkumi kerjasama latihan serta peluang pertukaran kursus, khususnya dalam bidang Combined Arms dan artileri.
“Setakat ini kedua-dua pihak dalam peringkat akhir memperhalusi ketetapan sebelum menghantar anggota TDM bagi mengikuti latihan kepakaran berkenaan,” katanya.






