
PETALING JAYA – Belum pun sehari berakhirnya cuti Hari Malaysia, warga kota sudah mula ‘mengeluh’ apabila perlu menunggu lebih sebulan sebelum bertemu semula dengan cuti umum seterusnya.
Perkara itu menjadi perhatian di media sosial selepas seorang pengguna Threads berkongsi mengenai tempoh panjang yang perlu ditempuhi selepas sambutan Hari Malaysia semalam.
Berdasarkan semakan jadual Hari Kelepasan Am 2026, cuti umum seterusnya bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah Deepavali pada 8 November depan.
Ini bermakna warga Kuala Lumpur akan melalui 52 hari berturut-turut tanpa cuti umum bermula hari ini sehingga 7 November, sebelum Deepavali pada keesokan harinya.
Terdahulu, pengguna Threads, @nieda.hasnida berseloroh mengenai ‘kemarau’ cuti berkenaan menerusi satu hantaran yang meraih perhatian ramai.
“Dengan berakhirnya cuti Hari Malaysia pada hari ini, maka kita akan menempuh 53 hari tanpa public holiday. Yang mana ada baki AL (cuti tahunan) lagi bolehlah plan habiskan,” katanya dalam hantaran semalam
Hantaran tersebut meraih lebih 6,000 tanda suka selain mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang mula berkongsi ‘strategi’ masing-masing untuk menggunakan baki cuti tahunan.
“Tak terpakai untuk Kelantan. Kami ada dua hari cuti sempena keputeraan Sultan Kelantan hujung bulan ni,” kata seorang pengguna.
“Selangor pun ada cuti satu hari Oktober nanti. Tu pun kalau syarikat ambil lah,” komen pengguna lain.
“Rakyat Malaysia memang suka mengira cuti macam ini. Saya suka sebab memang suka cuti,” komen seorang pengguna pula. – KOSMO! ONLINE
The post Selepas Hari Malaysia, warga KL perlu tempuh 52 hari tanpa cuti umum appeared first on Kosmo Online.





