amree02/09/2026 - 15:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Sept — Green Packet Berhad menerusi syarikat dalam kumpulannya sudah memberi pinjaman berjumlah RM144.54 juta kepada Packet Interactive Sdn Bhd (PISB) setakat 30 Jun 2026.
Penyaluran itu menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, membolehkan anak syarikat tersebut dapat menjalankan aktiviti perniagaan pemberian pinjaman wang kepada para pelanggannya.
Bagaimanapun, daripada amaun itu, jumlah pinjaman tertunggak yang diberikan PISB kepada peminjam hanya RM583,621, dengan kesemuanya dalam bentuk pinjaman tidak bercagar oleh pihak korporat.
"Ia merekodkan pinjaman baharu berjumlah RM83,621 sepanjang suku berakhir 30 Jun 2026, menjadikan jumlah pinjaman terkumpulnya meningkat daripada RM500,000 pada 1 April 2026," kata Green Packet.
Ujar kumpulan tersebut, pendedahan laporan terbaharu berkenaan menunjukkan PISB mempunyai dua kemudahan pinjaman utama setakat akhir tempoh, masing-masing berjumlah RM500,000 dan RM83,621.
Jelasnya, kedua-dua pinjaman tersebut merupakan pinjaman tidak bercagar kepada pihak tidak berkaitan, dengan jumlah tertunggak masing-masing sama seperti nilai prinsipal yang diberikan.

PISB namun tambah Green Packet, tidak merekodkan sebarang pinjaman gagal bayar setakat 30 Jun 2026, termasuk tiada pinjaman diklasifikasikan sebagai gagal bayar sepanjang tempoh kewangan berkenaan.
"Di samping itu, tiada jumlah pinjaman dilaporkan sebagai sudah dipulihkan, diperoleh semula, dihapus kira atau ditukar kepada sekuriti sepanjang tempoh tersebut," kata kumpulan berkenaan lagi.
Dari segi komitmen pembiayaan, keseluruhan RM144.54 juta yang dipinjamkan oleh syarikat dalam kumpulan kepada PISB diklasifikasi sebagai pinjaman kepada anak syarikat pemberi pinjaman wang itu.
Namun PISB pula ujar Green Packet, tidak mempunyai pinjaman yang dijamin oleh mana-mana syarikat dalam kumpulan berkenaan sendiri dan tidak merekodkan sumber pinjaman lain setakat 30 Jun 2026.
Pengumuman terbaharu itu merupakan pindaan kepada pengumuman pada 27 Ogos 2026, bagi membetulkan jumlah bantuan kewangan agregat diberi sepanjang suku berakhir 30 Jun 2026. - DagangNews.com






