amree27/08/2026 - 14:12 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Ogos — Advancecon Holdings Berhad mencatatkan buku tempahan terkumpul yang mencecah RM939 juta bagi separuh pertama tahun kewangan 2026 (1HFY26) berakhir pada 30 Jun 2026.
Perkembangan positif tersebut memberi kumpulan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh ketika ia terus memperluaskan pendedahan kepada infrastruktur perindustrian, utiliti dan pusat data (DC).
Pengukuhan itu disokong oleh pemerolehan kerja baharu bernilai kira-kira RM317.7 juta sejak Mac 2026, sekali gus membolehkan kumpulan membina saluran pembinaan yang lebih besar dan pelbagai.
"Bagi tempoh enam bulan, keuntungan bersih naik 34.5% kepada RM3.01 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) bertambah 11.3% kepada RM5.38 juta," kata Advancecon kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu ujarnya, bagi suku kedua (2QFY26), PBT meningkat 20.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM3.53 juta walaupun kumpulan masih lagi berdepan turun naik kos susulan perkembangan geopolitik.
Secara suku ke suku (QoQ), PBT naik hampir dua kali ganda daripada RM1.85 juta pada suku pertama kepada RM3.53 juta, manakala pendapatan meningkat kepada RM108.88 juta daripada RM97.45 juta.
Segmen Tenaga Hijau Catat Penjanaan Rendah
Segmen perkhidmatan pembinaan dan sokongan menyumbang RM52.9 juta atau 48.5% daripada hasil Advancecon, dengan PBT melonjak kepada RM3.7 juta daripada RM700,000 pada tempoh sama tahun lalu.
"Segmen kuari pula menjadi penyumbang terbesar iaitu RM54.4 juta atau kira-kira 49.9% daripada hasil kumpulan, namun PBT pula didapati menurun kepada RM2 juta daripada RM2.4 juta," jelasnya.
Dalam pada itu, segmen tenaga hijau mencatatkan penjanaan elektrik lebih rendah akibat gangguan loji, dengan pihak pengurusan memberi tumpuan kepada usaha segera memulihkan kestabilan operasi.
Pengarah Urusan Advancecon, Phum Boon Eng berkata, kekuatan kumpulan kini bukan hanya bergantung kepada pertumbuhan, tetapi kualiti saluran projek yang dibina dalam sektor berpotensi tinggi.
Antara kerja baharu yang diperoleh termasuk kontrak bernilai RM148.4 juta di Kulai, Johor, yang memperkukuh kedudukan Advancecon dalam pembangunan infrastruktur dan ekosistem perindustrian.
"Melangkah ke hadapan, kami kekal optimis terhadap prospek FY26, disokong aktiviti pelaburan industri dan infrastruktur digital serta penekanan pelaksanaan projek," katanya. - DagangNews.com






