Status GN3 dan kes mahkamah punca SMTrack kerugian RM5.73 juta bagi 6Q berakhir 30 Jun 2026

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 4:30 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Status GN3 dan kes mahkamah punca SMTrack kerugian RM5.73 juta bagi 6Q berakhir 30 Jun 2026 Image from: Status GN3 dan kes mahkamah punca SMTrack kerugian RM5.73 juta bagi 6Q berakhir 30 Jun 2026 amree01/09/2026 - 16:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 SeptSMTrack Berhad berdepan tempoh mencabar bagi suku keenam berakhir 30 Jun 2026 apabila dihimpit status syarikat terjejas di bawah Nota Panduan 3 (GN3) selain kes di mahkamah.

 

Cabaran ini berlaku ketika persekitaran operasi yang sukar akibat tekanan kos dan ketidaktentuan pasaran, namun syarikat itu giat menyusun strategi pemulihan melalui pelan penyusunan semula.

 

Isu paling kritikal yang dihadapi ketika ini adalah statusnya selepas mencetuskan kriteria GN3 dan Peraturan 8.03A(2)(b) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 13 April 2026.

 

 

 

 

 

 

 

"Pihak Lembaga Pengarah dalam proses merumuskan pelan bagi menangani kedudukan kewangan syarikat dan SMTrack masih ada tempoh lapan bulan dari tarikh pengumuman tersebut," maklumnya kepada bursa.

 

Selain itu, kumpulan berkenaan juga bergelut dengan kes mahkamah melibatkan Aerodome Sdn Bhd atas tuntutan sewa hangar pesawat tertunggak yang sudah berjumlah RM317,791.91 setakat Oktober 2025.

 

Permohonan untuk mengetepikan penghakiman ingkar kehadiran telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen, dan rayuan kini ditetapkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 September 2026. 

 

SMTrack juga menghadapi satu lagi tuntutan sewa pejabat hangar di bawah Mahkamah Majistret dengan permohonan penangguhan bagi rujukan timbang tara ditolak, sebelum difailkan ke Mahkamah Tinggi.

 

SMTrack_DagangNews2026

 

"Dari sudut prestasi kewangan bagi suku berakhir 30 Jun 2026, SMTrack mencatatkan hasil rendah RM0.63 juta, menyebabkan kerugian bersih sebelum dan selepas cukai kepada RM5.73 juta," jelasnya.

 

Pada suku terdahulu, syarikat berjaya menjana hasil sebanyak RM3.72 juta dan penurunan mendadak ini berpunca terutama aktiviti perniagaan yang jauh lebih rendah dalam segmen teras syarikat.

 

Bagaimanapun, tiada maklumat perbandingan kewangan disediakan bagi tempoh yang sama tahun lalu disebabkan oleh perubahan tarikh akhir tahun kewangan kumpulan daripada 31 Disember kepada 30 Jun.

 

Meskipun berdepan pelbagai cabaran berat, SMTrack kekal optimis mengenal pasti peluang perniagaan baharu bagi mempelbagaikan hasil dengan memberikan tumpuan untuk meningkatkan kecekapan operasi.

 

"Syarikat juga sedang menilai pelbagai pelaburan strategik dan perkongsian komersial yang berdaya maju dengan pelaksanaan kawalan kos bagi memastikan kelangsungan perniagaan teras," tambahnya.

 

 

 

 

 

 

Antara langkah diusahakan adalah cadangan usaha sama (JV) dengan Madyna Global LLC mengambil alih Gold Moon DTT LLC, iaitu pemilik jenama Z Terra dan pengendali Z Terra Event Hall di Mongolia.

 

Selain itu, SMTrack masih dalam proses menyelesaikan cadangan pengambilalihan baki kepentingan dalam V Ultimate Sdn Bhd pada nilai RM55 juta, dengan memegang 66% ekuiti. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved