Dadah tetap jadi ancaman walaupun jumlah penagih dadah di Sabah menurun

2 Nov 2026 • 4:38 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Dadah tetap jadi ancaman walaupun jumlah penagih dadah di Sabah menurun

BEAUFORT: Sebanyak RM2.3 juta diperuntukan tahun ini dalam usaha memperkukuh pencegahan penyalahgunaan dadah di Sabah.

Menerusi jumlah itu, antara pendekatan diambil termasuklah menerusi peluasan Program Tekad Sektor Awam dan pemerkasaan Skuad Antidadah.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata peruntukan berkenaan diluluskan dalam Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) 2026 selain pelaksanaan pelbagai inisiatif oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sabah.

“Ancaman penyalahgunaan dadah tidak boleh dipandang ringan kerana kesannya bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kehidupan individu malah turut menggugat keharmonian keluarga, keselamatan masyarakat serta produktiviti negeri.

“Menurutnya pembangunan Sabah bukan sekadar diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi dan kemajuan infrastruktur tetapi turut bergantung kepada kesejahteraan keluarga, keselamatan komuniti dan masa depan generasi muda.

“Di sebalik setiap angka direkodkan terdapat individu dan keluarga yang memerlukan perhatian, bimbingan dan sokongan untuk membina kehidupan lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Program Madani Kita 2026 dan Penutupan Festival Bagandang Beaufort di Dataran Bagandang pada Ahad.

Dalam pada itu Hajiji menyatakan statistik AADK merekodkan seramai 130,307 individu sebagai penagih dan penyalah guna dadah di seluruh negara setakat Jun 2026.

Jelasnya beliau berkata jumlah terbabit menurun 3.4 peratus berbanding 134,916 individu bagi tempoh sama tahun lalu.

“Seramai 5,269 individu direkodkan di Sabah dengan penurunan sebanyak 0.02 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun katanya penurunan itu tidak seharusnya menyebabkan masyarakat berasa selesa kerana ancaman dadah terus berkembang khususnya membabitkan dadah sintetik seperti Amphetamine-Type Stimulants (ATS), bahan psikoaktif baharu (NPS) dan opioid sintetik seperti fentanyl.

“Golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun perlu diberikan perhatian serius kerana mereka merupakan antara penggerak utama pembangunan negeri.

“Penglibatan golongan itu dalam penyalahgunaan dadah bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka malah turut memberi kesan kepada keluarga, ekonomi dan masyarakat.

“Sehubungan itu kita menggariskan tiga strategi utama bagi memastikan usaha membanteras ancaman dadah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” ujarnya.

Mengulas lanjut Hajiji memaklumkan strategi pertama adalah memperkukuh peranan keluarga dan komuniti sebagai benteng utama pencegahan termasuklah memastikan ibu bapa memantau pergaulan anak-anak, memahami perubahan tingkah laku serta membina komunikasi terbuka dalam keluarga.

Pada masa sama pemimpin masyarakat, persatuan belia dan sukarelawan perlu memperluas aktiviti positif bagi membina jati diri serta melindungi golongan muda daripada pengaruh dadah.

“Strategi kedua pula membabitkan peningkatan penguatkuasaan dan kerjasama bersepadu antara agensi seperti AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi berkaitan.

“Perkongsian maklumat, risikan dan operasi bersepadu perlu dipertingkat bagi membanteras pengedaran dadah serta memutuskan rangkaian sindiket.

“Tindakan tegas terhadap pengedar dan sindiket perlu dilaksanakan seiring usaha pencegahan serta intervensi awal bagi membendung bekalan dadah, mengurangkan permintaan dan mencegah kes baharu.

“Strategi ketiga pula ialah memperluas akses kepada rawatan, pemulihan dan peluang pekerjaan bagi membantu individu yang berhadapan masalah penagihan kembali berdikari serta menjalani kehidupan produktif.

“Kita perlu tegas terhadap kegiatan pengedaran dadah namun pada masa sama memberikan ruang kepada individu yang berusaha untuk pulih,” jelasnya.

“Mereka tidak seharusnya terus dibebani stigma sehingga sukar kembali kepada keluarga dan masyarakat. Sebaliknya, mereka perlu dibimbing, diberikan peluang kedua dan dibantu untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Haiji berkata penganjuran semula Festival Bagandang dapat menghidupkan kembali tradisi kesenian Bagandang yang sinonim dengan masyarakat Beaufort selain memperkenalkannya kepada masyarakat di seluruh Sabah.

Menurutnya festival itu juga menjadi landasan untuk mempersiapkan Beaufort menyambut Tahun Melawat Sabah 2027 selain memberi impak ekonomi dan sosial kepada penduduk menerusi peluang perniagaan kepada usahawan tempatan melalui gerai jualan dan pasar tamu.

Hajiji pada majlis sama turut menyerahkan 247 geran tanah berkeluasan keseluruhan 889.21 ekar kepada penduduk kampung.

Daripada jumlah itu, sebanyak 24 geran merupakan geran Pantas melibatkan keluasan 77.51 ekar manakala baki 223 geran lagi ialah geran Tanah Anak Negeri (NT) biasa berkeluasan 811.7 ekar.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved