Trend Penyalahgunaan Dadah Bawah 15 Tahun Membimbangkan - Saifuddin Nasution

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 4:18 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Trend Penyalahgunaan Dadah Bawah 15 Tahun Membimbangkan - Saifuddin Nasution

MACHANG, 17 Okt (Bernama) -- Trend penyalahgunaan dadah dalam kalangan individu berumur bawah 15 tahun semakin membimbangkan dan memerlukan usaha pencegahan lebih menyeluruh, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan profil individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah, golongan berumur 15 hingga 39 tahun merupakan kumpulan terbesar.

Beliau berkata perkembangan itu memerlukan pendekatan pencegahan yang turut memberi penekanan kepada pendidikan awal serta peranan ibu bapa membendung penglibatan golongan muda dalam gejala sosial tersebut.

"Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempunyai tiga fungsi utama, iaitu pendidikan dan pencegahan, penguatkuasaan serta pemulihan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah,

"Usaha mendidik masyarakat perlu diperkukuh bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan tindakan pencegahan dalam keluarga," katanya lagi pada sidang media selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tahun 2026 di sini hari ini.

Sementara itu, mengenai kes rampasan 521 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine daripada sebuah jet peribadi di Laos baru-baru ini, Saifuddin Nasution berkata dadah berkenaan ditemukan di dalam pesawat berkenaan sebelum penerbangan ke Manila.

Baca juga:

Beliau berkata pesawat berkenaan berlepas dari Subang menuju Laos tanpa membawa dadah, sebelum muatan berkenaan dimasukkan ketika pesawat berada di negara itu.

"Pihak berkuasa Laos kemudian mengesan dadah tersebut ketika pesawat berkenaan hendak meneruskan penerbangan ke Manila,

"Polis telah mengesan pemilik pesawat, termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang bagi membantu siasatan berikutan pesawat itu berlepas dari Subang," ujarnya lagi.

Beliau berkata siasatan turut memberi tumpuan kepada pihak yang menyewa pesawat berkenaan, tujuan penyewaan serta destinasi penerbangannya.

Beliau berkata identiti pemilik pesawat telah dikenal pasti, namun butiran lanjut berkaitan siasatan belum boleh didedahkan.

Sebelum ini, polis Laos merampas 521 kg dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berhubung kes itu.

Vientiane Times yang memetik Lao Security Newspaper melaporkan, operasi keselamatan dijalankan pada 1 Okt lepas susulan maklumat diterima polis wilayah berkenaan pada 21 Sept lepas mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai merancang menyeludup narkotik merentasi sempadan melalui udara menggunakan pesawat peribadi.

Menurut laporan itu, polis kemudian menerima maklumat mengenai perubahan jadual penerbangan dan pesawat peribadi berkenaan dijadualkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang pada 1.30 tengah hari, 1 Okt.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved