‘Dah bagi impak, walau dia buat tak tahu, macam tuli’

Family & Parenting
6 Oct 2026 • 3:56 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Dah bagi impak, walau dia buat tak tahu, macam tuli’

Image from: ‘Dah bagi impak, walau dia buat tak tahu, macam tuli’

KUALA LUMPUR – Dikecam kerap membuat luahan terbuka, pelakon Abby Abadi, mengakui teguran terhadap insan terdekat menerusi laman sosial membantu menyelesaikan isu dalaman keluarganya.

Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 49, berkata, tindakan tersebut merupakan antara usaha mendapatkan semula hak yang sepatutnya diterima anak-anak daripada bekas suami, Norman Hakim.

“Sebenarnya adalah beberapa point (perkara) yang saya rasa, kalau tak tular dia langsung tak berfungsi dan tak bergerak pun (isu nafkah tertunggak).

“Saya rasa apa yang saya buat ini memberi impak walaupun dia macam buat tak tahu, macam tuli dan tiada empati.

“Tidak mengapalah (dikecam). Awal-awal memang saya usahakan supaya anak-anak saya diberikan layanan sama adil. Itu permulaan dan saya nampak hasilnya,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman konsert Elegant Selamanya, baru-baru ini.

Menurut anggota kumpulan Elite itu, medium media sosial yang digunakan juga turut membantu menyelesaikan konflik rumah tangga anak keduanya, Marissa Dania Hakim.

“Macam isu Marissa, saya tak rasa pun saya burukkan dia. Keadaan itu memang sudah sedia buruk disebabkan situasi yang sedia berlaku.

“Tetapi waktu itu saya berusaha nak menyelamatkan anak saya dan akhirnya alhamdulillah semuanya selesai.

“Walaupun mungkin nampak macam saya yang teruk tapi saya dah menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Akui ibu kepada enam cahaya mata itu, dia enggan mengambil pusing kritikan negatif segelintir pihak kerana menyedari ramai wanita lain berdepan isu serupa.

Pada masa sama, Abby berkata, hal yang dibangkitkan dalam media sosial hanya secebis daripada keseluruhan isu didepaninya.

“Tak mengapa, dalam pada ramai orang berkata yang tak baik, lebih ramai lagi individu tidak saya kenali berikan semangat.

“Masalah saya hadapi ini isu global dan ramai golongan ibu lain pun tempuhinya, malah ada lagi teruk daripada saya.

“Banyak mesej saya terima meluahkan perasaan terutama berkaitan darah daging mereka. Tapi saya rasa di pihak saya sendiri, daripada 100 peratus, cuma lima peratus sahaja saya dedahkan.

“Cuma ada yang melebih-lebih dan tuduh pula saya dengki. Kalau nak dengki dari dulu lagi. Jadi, lunaskan dulu hak anak-anak. Itu sahaja ,” katanya.

Terdahulu, kemelut dalaman antara Abby dan bekas suaminya kembali menjadi bualan di media sosial selepas pelakon terbabit menitip ucapan ulang tahun yang didakwa netizen boleh menggores hati anaknya, Maria Danisha Hakim.

Abby turut berkongsi luahan berkaitan pengorbanannya dalam membesarkan anak-anak namun seakan-akan dilupakan. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Dah bagi impak, walau dia buat tak tahu, macam tuli’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved