
PONTIAN: Jarak penglihatan terhad susulan keadaan cuaca jerebu dan berkabus dipercayai merupakan antara faktor kemalangan maut melibatkan tiga adik beradik di Jalan Parit Haji Siraj, Kayu Ara Pasong, di sini awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Dr. Muhammad Naqib Md. Ghazali bagaimanapun berkata, punca sebenar kemalangan hanya akan diketahui selepas siasatan pihak berkuasa selesai.
“Pihak keluarga sudah tahu sekolah ditutup dua hari susulan jerebu, tetapi kedua-dua beradik itu cukup bersemangat untuk ke sekolah walaupun sudah dimaklumkan sekolah ditutup.
“Susulan itu, abang mereka yang berusia 18 tahun bertindak menghantar adik-adiknya. Apabila sampai di sekolah, mereka diberitahu sekolah ditutup dan mereka berpatah balik untuk pulang ke rumah.
“Ketika dalam perjalanan pulang, difahamkan kira-kira 200 meter daripada rumah mereka terlibat kemalangan,” katanya selepas menziarah keluarga ketiga-tiga mangsa di kediaman mereka, di sini hari ini.
Tambah Dr. Muhammad Naqib, kerajaan negeri akan menanggung kos pengurusan pengebumian ketiga-tiga mangsa selain turut menggerakkan bantuan kepada keluarga yang sedang berdepan kehilangan.
“Saya telah minta Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian untuk membantu melancarkan segala urusan berkaitan,” katanya.
Pagi tadi, Nor Danial Aiman Norlizan, 18, yang menunggang motosikal maut ketika dalam perjalanan ke hospital, manakala dua adiknya, Nor Danial Fikri Norlizan, 11, dan Puteri Naufa Raisha Norlizan, 8, maut di lokasi kejadian.-UTUSAN
The post Jarak penglihatan terhad mungkin antara faktor kemalangan appeared first on Utusan Malaysia.




![[KEMASKINI] Tiga beradik maut 200 meter nak sampai rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/maut-3-beradik-1024x762.jpeg)

