
SHAH ALAM, 8 OKT: Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang terletak di kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 180 diarahkan tutup mulai esok.
Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata arahan itu turut membabitkan kawasan yang merekodkan bacaan IPU melebihi 150 selama tiga hari berturut-turut, dengan penutupan bermula Isnin, 12 Oktober.
Menurutnya, langkah berkenaan diambil bagi melindungi kesihatan dan keselamatan murid serta warga pendidikan susulan keadaan jerebu yang melanda negara.
"Semua institusi pendidikan bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 berdasarkan catatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) hendaklah ditutup bermula Jumaat, 9 Oktober 2026.
"Bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut hendaklah ditutup bermula pada Isnin, 12 Oktober 2026," katanya dalam kenyataan hari ini.
Setakat jam 7.10 malam ini, tiga kawasan mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 iaitu Segamat, Johor (190), Seremban, Negeri Sembilan (189) dan Nilai, Negeri Sembilan (183).
Sementara itu, Kluang di Johor merekodkan bacaan tepat 180, manakala Rompin di Pahang dan Johan Setia di Selangor masing-masing mencatatkan 178, menghampiri paras penutupan ditetapkan KPM.
Di Selangor, beberapa kawasan lain turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat termasuk Banting (172), Shah Alam (171), Petaling Jaya (166) dan Klang (165).
Beliau berkata sekolah dan institusi pendidikan yang terjejas perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) bagi memastikan proses pembelajaran murid tidak terganggu.
Menurutnya, pelaksanaan PdPR perlu mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesediaan guru.
Selain itu, guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) turut dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan.
Mohd Azam berkata Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan perlu terus memantau bacaan IPU serta mengambil tindakan sewajarnya apabila melepasi paras ditetapkan.
Katanya, KPM akan terus memantau perkembangan jerebu dan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan serta agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terpelihara.
Arahan itu turut mengambil kira titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menzahirkan keprihatinan terhadap keselamatan dan kesihatan murid susulan keadaan jerebu di negara ini.






