
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Hari ini (8 Oktober), orang ramai dikejutkan dengan tragedi menyayat hati melibatkan tiga beradik yang maut dipercayai dalam perjalanan pulang dari sekolah.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7 pagi tadi, mangsa, Nor Danial Aiman Nor Lizan (18) serta kedua-dua adiknya, Nor Danial Fikri (11) dan Puteri Naufa Raisha (8) maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Parit Haji Sirat, Pontian, Johor.
Ibu Dakwa Dah Larang Anak Ke Sekolah Tetapi Anak Tetap Mahu Pergi
Terbaharu, ibu kepada ketiga-tiga mangsa, Julaiha Munaji mendedahkan kedua-dua anaknya tetap mahu ke sekolah meskipun telah dilarang dari berbuat demikian.
“Saya dah beritahu tak payah pergi sekolah, tapi mereka beria-ia nak pergi juga,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Jelas Julaiha, dia sudahpun memaklumkan kepada Nor Daniel Fikri dan Puteri Naufal Raisya bahawa mereka tidak perlu pergi ke sekolah susulan pengumuman sekolah di seluruh Johor ditutup kerana jerebu.
Walau bagaimanapun kongsi Julaiha, kedua-dua anaknya itu tetap berkeras mahu ke sekolah manakala Nor Danial Aiman menghantar kedua-duanya bagi membuktikan bahawa sekolah sememangnya ditutup.
CCTV Sekolah Rakam Motosikal Dinaiki 3 Beradik, Terlibat Kemalangan Hanya 200 Meter dari Rumah
Tambah Julaiha yang merupakan ibu kepada enam orang anak, kamera litar tertutup (CCTV) sekolah anaknya turut merakam motosikal yang dinaiki tiga beradik itu telah sampai ke kawasan sekolah.
“Bila sampai depan sekolah, saya dimaklumkan kamera litar tertutup (CCTV) sekolah rakam motosikal dinaiki mereka dan terus pusing nak balik ke rumah.
“Sekolah rendah dengan rumah cuma dua kilomoter. Ada orang yang hendak pergi kerja datang beritahu motosikal dinaiki anak saya kemalangan dekat depan rumah. Jaraknya cuma 200 meter.
“Suami dan anak sulung terus pergi ke tempat kejadian dan anak-anak kemudian dibawa ke hospital Pontian,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Tiada Perubahan Pelik Pada Anak
Kongsi Julaiha, anak-anaknya kelihatan ceria seperti biasa sebelum keluar ke rumah dan tiada perubahan pelik dilihat pada mereka.
“Fikri ada beritahu nak main bola. Dia siap basuh kasut bersih-bersih dan letak di situ sebab nak pakai nanti.
“Anak bongsu, Puteri pula buat kerja sekolah pada sebelah malam, kemudian sambung lagi pada sebelah siap,” katanya.
Jelasya, ketiga-tiga anaknya itu juga rapat antara satu sama lain malah malam sebelum kejadian mereka masih tidur bersama.
“Aiman jenis pendiam, tapi kalau dengan saya dia suka bergurau. Mereka semua rapat.
“Empat bulan lepas saya kemalangan selepas hantar anak ke sekolah. Aiman yang jugak anak ketiga banyak tolong saya, hantar adik-adik ke sekolah,” ujarnya.
Polis Sahkan Kejadian, Siasatan Lanjut Kenal Pasti Punca Masih Lagi Dijalankan
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain dalam satu kenyataan mengesahkan insiden tersebut.
Jelas Hadzrat Hussein, motosikal yang dinaiki tiga beradik itu sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Parit Haji Omar menghala ke Kayu Ara Pasong.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal tersebut dipercayai telah bertembung dengan sebuah lori jenis Daihatsu yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Pontian.
“Dua pembonceng yang merupakan adik-beradik penunggang turut mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu lori, seorang lelaki berusia 69 tahun mengalami kecederaan pada tangan dan kedua-dua lutut serta telah menerima rawatan,” katanya.
Tambah Hadzrat Hussein, hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang dinaiki ketiga-tiga beradik itu dipercayai telah melanggar bahagian hadapan sebelah kanan lori berkenaan.
“Walau bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar serta keadaan yang membawa kepada pelanggaran tersebut,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Banjir: 3 Beradik Di Kelantan Maut Selepas Terkena Renjatan Elektrik Di Rumah Jiran
Baca Artikel Berkaitan: Kes Pelajar Maut Dilanggar Di Sekolah: Bapa Nur Fatimatul Hawa Reda & Maafkan Guru





![[KEMASKINI] Tiga beradik maut 200 meter nak sampai rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/maut-3-beradik-1024x762.jpeg)
