
SABAN hari, semakin ramai selebriti senior ligat dalam media sosial. Jika tidak dengan hantaran sindiran atau pendedahan, pasti muncul dengan konten mencuit hati.
Antara selebriti yang rancak mengisi konten media sosial adalah pengarah juga pelakon, Nam Ron. Kemunculannya dalam media sosial bukan dengan konten bersifat lantang sebaliknya hal-hal rawak yang adakalanya mencuit hati netizen termasuk ilmu rumah tangga.
Begitulah gelagat pemilik nama penuh Shahili Abdan sejak kebelakangan ini dalam media sosial yang mengakui platform tersebut bukan lagi untuk menyampaikan maklumat secara sehala.
Media sosial
Katanya, perubahan pendekatan penggunaan media sosial turut membuatkan interaksinya dengan peminat menjadi lebih rapat berbanding dahulu.
“Mungkin saya lambat sedikit tetapi sekarang media sosial bukan hanya sekadar untuk komunikasi satu hala seperti memberitahu atau menguar-uarkan sesuatu perkara sahaja macam zaman dahulu.
“Sekarang semuanya dua hala dan boleh jadi platform untuk kita berinteraksi dengan peminat yang menyokong kerjaya kita.
“Sejak aktif berinteraksi, saya dapat melihat perubahan seperti hubungan dengan peminat lebih rapat dan mesra sebab ada komunikasi antara kami. Ruang yang bagus kalau gunakan dengan baik,” katanya kepada HibGlam.
Berbeza dengan pendekatannya sebelum ini, dia kini mengakui memilih cara dan konten yang lebih santai dalam media sosial selain enggan lagi menghadam atau memberi reaksi terhadap sesuatu isu secara serius.
“Dahulu saya terlalu ambil serius sangat setiap kali main media sosial. Nak kritik, kecam atau bercakap tentang bermacam-macam jenis isu.
“Sekarang saya relaks dan rasa media sosial ini bukan untuk itu lagi. Kalau nak buat benda-benda begitu, baik buat karya atau filem untuk berbicara dan berbahas mengenai isu yang lebih serius.
“Buat masa ini, media sosial jadi ruang lebih santai dan boleh bergurau untuk mendekatkan diri dengan peminat saja,” katanya lagi.
Rahim
Beralih cerita mengenai filem terbaharu lakonannya, Terbang yang ditayangkan di pawagam sejak 17 September lalu, aktor berusia 56 tahun itu mengakui tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran naskhah arahan Chiu Keng Guan tersebut.
Memegang watak Rahim, dia mengakui sudah lama memasang impian untuk bekerja dalam karya arahan Chiu, malah menolak tepi soal bayaran demi Terbang yang mengangkat kisah pelumba rali negara, Karamjit Singh.
“Saya kenal dia selepas menonton filem The Journey, kemudian Ola Bola dan melalui dua karya ini, memang sudah tahu dia pengarah yang hebat.
“Dia bukannya pengarah yang buat filem macam kilang, setahun sampai dua tiga karya. Ini pun selepas 10 tahun baru muncul filem baharu.
“Saya terus setuju ketika ditawarkan filem ini. Tentang kadar bayaran atau sebagainya, saya minta mereka letak saja tetapi masih mengikut standard,” ujarnya.
Berkongsi mengenai babak yang paling meninggalkan impak, dia memberitahu momen kemenangan Karamjit di New Zealand yang berbekas dalam hatinya.
“Meremang bulu roma ketika Karamjit pertama kali menang rali.
“Melihat mereka naik podium membawa nama Malaysia, memang rasa sangat bangga,” jelasnya yang meminati sukan pemotoran seperti MotoGP dan Formula 1.
Sebagai pelakon senior, Nam Ron turut memuji usaha dan kehebatan lakonan dua bintang utama Terbang iaitu Irfan Zaini dan Jack Tan.
“Mereka sangat bagus. Walaupun Jack bergelut nak bertutur dengan lancar dalam bahasa Melayu, hasilnya tetap hebat.
“Irfan pula walaupun masih baharu dan pertama kali jadi pelakon utama untuk filem, emosi yang diberikan luar biasa terutama ketika babak memerlukan dia menangis. Dia berjaya menyentuh perasaan,” akhirinya.
The post ‘Dahulu saya terlalu serius ambil, sekarang lebih relaks’ appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] ‘Apahal sujud sahwi atas jalan raya ni’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/ampang-tular-viral-1024x768.jpeg)
