Dakwa AS campur tangan: Bukit Aman sudah hubungi Abdul Hadi

LocalPolitics
7 Sep 2026 • 4:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dakwa AS campur tangan: Bukit Aman sudah hubungi Abdul Hadi
Mohd Syahir memaklumkan pihak Bukit Aman sudah menghubungi mereka susulan beberapa laporan polis dibuat berhubung dakwaan Abdul Hadi.

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedia memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung dakwaannya mengenai campur tangan Amerika Syarikat (AS) dalam usaha menjatuhkan kerajaan Malaysia sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, pihak Bukit Aman sudah menghubungi mereka susulan beberapa laporan polis dibuat berhubung dakwaan berkenaan.

"Ya, pihak Bukit Aman telah hubungi kami. Tan Sri telah dimaklumkan, dan sedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

"Maklumat lanjut perkara ini bagaimanapun tidak dapat didedahkan, namun tarikh dan masa akan ditentukan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Terdahulu, media melaporkan tiga laporan polis dibuat berhubung kenyataan Ahli Parlimen Marang itu.

Laporan itu dibuat oleh Naib Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak, V Jonathan; Ketua Wanita PKR Cabang Bandar Tun Razak, Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bandar Tun Razak, Amarul Hisham Jalil di Balai Polis Cheras pada Ahad.

Dalam ucapannya pada Muktamar Tahunan Pas sebelum ini, Abdul Hadi mendakwa wakil AS pernah menawarkan bantuan kepada Pas untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum PRU14.

Beliau turut mendakwa terdapat pertemuan antara pemimpin Pas dengan wakil Kedutaan AS, selain mendakwa seorang duta AS bertanyakan siapa calon Perdana Menteri yang akan dicadangkan parti itu sekiranya berlaku perubahan kerajaan.

Bagaimanapun, Kedutaan AS di Malaysia menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa Washington tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved