
KLANG – Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan tragis apabila digilis sebuah treler selepas terjatuh dalam kemalangan di Jalan Pintasan Pelabuhan Barat, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mangsa yang berusia 37 tahun menunggang motosikal bersendirian dari arah Klang menghala ke Pelabuhan Barat.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa melanggar sisi kanan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu di lorong kecemasan.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan mangsa terjatuh ke lorong kanan jalan sebelum digilis sebuah treler yang berada di laluan bersebelahan.
“Mangsa yang cedera parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda dan treler tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohamad Mustakin Najri menerusi talian 012-582 6983 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, kemalangan yang menimpa mangsa dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan sebelum tular dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE
The post Penunggang motosikal maut digilis treler selepas langgar pacuan empat roda appeared first on Kosmo Online.






