Guru besar maut, kereta langgar babi sebelum rempuh lori

LocalCars
28 Oct 2026 • 3:54 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Guru besar maut, kereta langgar babi sebelum rempuh lori

HULU SELANGOR, 28 OKT: Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Hulu Bernam maut selepas kereta dipandunya dipercayai terlanggar seekor babi sebelum bertembung dengan lori di Jalan Kuala Lumpur-Ipoh berhampiran Kalumpang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.15 pagi itu, mangsa, Harman Harun, 50-an, sedang dalam perjalanan dari Batang Kali menuju ke Hulu Bernam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan M Manimaran berkata siasatan awal mendapati kereta mangsa dipercayai terlanggar haiwan berkenaan yang melintas dari sebelah kiri jalan.

"Akibat pelanggaran itu, kereta berkenaan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.

"Pada masa sama, sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki berusia 30-an dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta terbabit," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Manimaran berkata, pertembungan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan itu tampil membantu siasatan.

Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nurul Anati Zulkifli di talian 03-6064 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved