Dakwa Dipaksa Tandatangan Dokumen Singkir Yamtuan Besar, MB Buat Laporan Polis 

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 8:12 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Dakwa Dipaksa Tandatangan Dokumen Singkir Yamtuan Besar, MB Buat Laporan Polis 

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, mendakwa beliau dipaksa menandatangani satu dokumen, kononnya bertujuan menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Ismail berkata, beliau telah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang semalam berhubung dokumen berkenaan, yang menurutnya ditandatangani tanpa kerelaan serta dalam keadaan berada di bawah tekanan.

“Berhubung isu Instrumen Pengisytiharan yang tular dalam laporan media pada malam 8 September, saya ingin menjelaskan bahawa saya menandatangani instrumen tersebut tanpa kerelaan dan dalam keadaan dipaksa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut berpendirian bahawa dokumen tersebut tidak mematuhi proses serta tatacara ditetapkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

“Justeru, dokumen tersebut adalah tidak sah, bercanggah dengan perlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya.

Ismail berkata, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam turut membincangkan beberapa perkara, termasuk cadangan penubuhan sebuah jawatankuasa pendamaian bagi mencari penyelesaian secara aman dan berhemah terhadap pertikaian yang melibatkan soal adat.

“Kerajaan negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan perlindungan dari segi perlembagaan terhadap hak serta kedudukan Raja-Raja Melayu,” katanya.

Menurutnya, peruntukan berkenaan menghendaki langkah sewajarnya diambil bagi memastikan kedudukan dan martabat Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus dilindungi.

Ismail pada masa sama menegaskan semula “sokongan penuh dan kesetiaan tidak berbelah bahagi” beliau kepada Tuanku Muhriz sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.

Kenyataan Ismail itu dibuat selepas empat orang Undang, termasuk seorang yang kedudukannya kini dipertikaikan, tampil mengemukakan satu dokumen didakwa sebagai pengisytiharan menyingkirkan Tuanku Muhriz daripada takhta.

Dokumen berkenaan, yang dikatakan mengandungi tandatangan Ismail, ditunjukkan kepada wakil media dalam satu sidang akhbar di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar pada malam Selasa.

Sidang akhbar tersebut bermula kira-kira jam 10.45 malam dan dihadiri Datuk Maarof Mat Rashad, Abdul Rahim Yassin serta Undang Luak Johol, Dato’ Johan Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan Datuk Muhammed Abdullah. - Getaran, 9 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved