Dakwaan buli, diskriminasi di sekolah: KPM arah siasatan dalam diselesaikan segera

LocalPolitics
20 Aug 2026 • 10:44 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dakwaan buli, diskriminasi di sekolah: KPM arah siasatan dalam diselesaikan segera
Fadhlina Sidek - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jemaah Nazir, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah diarah untuk menyelesaikan siasatan dalaman dengan segera berhubung kes kematian seorang pelajar sekolah menengah di sini, baru-baru ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, segala perkara yang menjadi kebimbangan awam termasuk berkaitan isu buli dan unsur perkauman perlu dipandang serius serta ditangani segera berasaskan fakta dan proses sewajarnya.

"Ingatan dan simpati saya terus bersama keluarga dan warga sekolah rentetan pemergian anakanda kita, pelajar di sebuah sekolah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"KPM (Kementerian Pendidikan) memberi kerjasama penuh kepada pihak polis serta bekerjasama rapat dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan perkara ini ditangani secara menyeluruh,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada masa sama, Fadhlina berkata, perhatian dan sokongan sewajarnya turut diberikan kepada keluarga, murid, guru serta seluruh warga sekolah yang terkesan.

Beliau berkata, pihak keluarga telah diberikan sokongan psikososial oleh pasukan kaunselor KPM manakala guru-guru diberikan penerangan berkaitan proses siasatan dan perundangan yang sedang berlangsung, di samping memastikan kebajikan serta kesejahteraan mereka terus diberikan perhatian.

"Smart Support Team KPM turut digerakkan bagi memberikan sokongan psikososial serta intervensi krisis kepada murid-murid yang terkesan agar kebajikan dan kesejahteraan emosi mereka terpelihara.

"Keutamaan kita adalah memastikan keadilan kepada semua pihak dan mengambil langkah yang wajar supaya persekitaran pendidikan kekal selamat dan bebas daripada sebarang bentuk salah laku buli serta diskriminasi,” katanya.

Terdahulu, insiden membabitkan kematian seorang pelajar sekolah menengah di ibu negara tular di media sosial sekali gus menimbulkan keresahan awam berhubung dakwaan wujudnya unsur buli dan perkauman di premis pendidikan itu. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved