
Ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) tidak sepatutnya dijadikan alasan oleh Ahli-Ahli Parlimen untuk tidak mengikuti penerangan dan membahaskan isu kepentingan serta simpanan umat Islam.
Penasihat Kanan Politik Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menerusi hantaran di media sosial mempersoalkan tindakan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar Dewan (walkout) semasa sesi penerangan berlangsung.
“Ini bukan perbahasan tentang Perdana Menteri, ini tentang simpanan umat Islam dalam Tabung Haji. Perdana Menteri tak ada, takkan Ahli Parlimen pun tak boleh dengar dan bahas?” tegas beliau.
Tengku Zafrul berkata Ahli-Ahli Parlimen sepatutnya memanfaatkan ruang di Dewan Rakyat untuk mempersoal, membahaskan, mahupun mengkritik kerajaan secara berfakta sekiranya terdapat perkara yang tidak dipersetujui. Beliau turut menyifatkan TH sebagai antara isu terbesar membabitkan ekonomi umat Islam dan Melayu dalam sejarah negara yang melibatkan simpanan rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Kalau ada yang tak kena, bangun dan soal… kalau tak setuju, bahas… kalau kerajaan salah, hentam dengan fakta… tak apa kalau tak setuju tetapi jangan sampai nampak macam tak peduli,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan tindakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dan Pengerusi PN Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar, yang bertindak keluar Dewan dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan laporan berkenaan.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat tersebut diadakan bagi membahaskan Laporan RCI setebal 211 halaman berhubung pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, selepas didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu.
Sumber: Bernama





