
PETALING JAYA: Impian pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee untuk mencipta kejayaan pada Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat tidak kesampaian apabila dia sekadar menduduki tempat kelapan dalam acara 100 meter (m), hari ini.
Danish menjadi satu-satunya wakil dari Asia yang beraksi di pentas final kejohanan itu menamatkan lariannya dengan catatan masa 10.44 saat (s).
Catatan tersebut bukanlah pencapaian terbaik Danish apabila sebelum itu dia berjaya mencatat 10.30s sekali gus menjadi catatan terbaiknya musim ini pada aksi saringan sebelum mara ke final dengan larian 10.36s di peringkat separuh akhir.
Pingat emas dimenangi atlet tuan rumah, Tate Taylor yang melepasi garisan penamat dengan catatan masa 9.94s manakala Gary Card dari Jamaica di tempat kedua (10.05s) dan gangsa milik wakil Afrika Selatan, Marko Ferreira (10.16s).
Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Avinaash Nair Sathiaseelan yang beraksi dalam acara 400m berpagar dibatalkan penyertaannya.
Larian Avinaash pada saringan pertama kejohanan dibatalkan selepas dia didapati memijak garisan dalam (lane infringement).
Walaupun tiada kilauan pingat berjaya diterjemahkan namun penyertaan atlet negara pada kejohanan tersebut wajar dibanggakan berikutan kebolehan mereka untuk bersaing dalam kelompok atlet remaja terbaik dunia. – UTUSAN
The post Danish akhiri saingan di tempat kelapan appeared first on Utusan Malaysia.




