
PETALING JAYA: Atlet pelapis negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee mengesahkan kedudukan dalam sembilan pelari pecut terbaik dunia apabila layak ke final acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Remaja Dunia Bawah 20 (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat, semalam.
Pencapaian tersebut membolehkan Danish bersama lapan pelari pecut muda terbaik dunia untuk membuat perhitungan di pentas akhir hari ini.
Danish menamatkan larian di tempat kedua dengan catatan masa 10.36 saat (s) di peringkat separuh kedua kejohanan di belakang Gary Card dari Jamaica (10.16s) dan turut layak ke final adalah Richard Machata dari Slovakia (10.38s) yang berada di kedudukan ketiga.
“Saya tak boleh nak letak harapan yang tinggi sebab selepas ini akan ada kejohanan lain tetapi apa yang saya boleh katakan adalah saya akan berikan versi terbaik diri saya.
“Saya cuba lakukan larian di bawah 10.30s atau 10.20s, versi yang terbaik buat diri saya. Di sini kita ada pencabar seperti Tate Taylor dan lain-lain dan saya cuba tonjolkan versi terbaik saya,” katanya.
Terdahulu, atlet dari Johor itu berjaya memperolehi slot ke separuh akhir selepas mendapat tempat kedua dalam saringan keenam dengan catatan masa 10.30s sekali gus memperbaiki rekod terbaik musim ini iaitu 10.38s.
Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi rakan senegaranya, Muhammad Airiel Iskandar Rusli apabila menamatkan saringan kelapan di kedudukan kedua terakhir dengan catatan masa 10.65s.
Bagi saingan 100m wanita pula menyaksikan wakil negara, Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira melakukan catatan masa 11.72s untuk berada di tempat keenam dalam saringan kelapan. – UTUSAN
The post Danish antara sembilan terbaik pecut remaja dunia appeared first on Utusan Malaysia.





