KUALA LUMPUR, 18 Sept (Bernama) -- Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok bagi membincang dan memutuskan pendirian serta tindakan susulan parti itu berhubung pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan.
Katanya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh telah menyampaikan pendirian dan pandangan yang selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab beliau sebagai anggota Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.
“Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh beliau (Hannah), pandangan tersebut disampaikan secara jujur dan berterus terang demi kepentingan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Loke berkata DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), selain memperjuangkan supaya penyelewengan itu disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa untuk melalui proses undang-undang yang bebas dan adil.
Baca juga:
Ahmad Zahid Seru Ahli UMNO Syukuri Keputusan, Hormati Proses Pengampunan Najib
Pengampunan Bersyarat Najib Tidak Jejas Ketegasan Kerajaan Perangi Rasuah - PM Anwar
Rafizi Gesa PM, Pimpinan PH Beri Penjelasan Berhubung Tahanan Rumah Najib
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib dengan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan perintah itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Ke-64 Bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang diadakan di Istana Negara pagi tadi.





