LANTIKAN Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada 22 Februari lepas dilihat sebagai titik perubahan penting dalam usaha gabungan pembangkang itu menyusun semula kekuatan politiknya selepas berdepan pelbagai pergolakan dalaman, khususnya melibatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Walaupun lantikan beliau berlaku dalam suasana mencabar susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, perkembangan selepas itu menunjukkan bahawa PN tidak memilih untuk terus tenggelam dalam krisis, sebaliknya mula bergerak secara lebih tersusun, profesional dan strategik.
Ahmad Samsuri sendiri membawa imej yang agak berbeza daripada kepimpinan sebelum ini. Sebagai Menteri Besar Terengganu yang mempunyai latar belakang teknokrat dan kejuruteraan, beliau dilihat lebih tenang, tersusun dan kurang kontroversi. Ini penting dalam usaha PN menjenamakan semula dirinya sebagai gabungan pembangkang yang lebih stabil dan bersedia untuk mentadbir.
Lebih penting, pelantikan beliau turut disertai dengan proses reorganisasi besar dalam struktur kepimpinan PN melalui Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 14 Mac. Antara perubahan paling signifikan ialah lantikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebagai Setiausaha Agung PN menggantikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
**media[3522370]**
Azmin pula dipindahkan sebagai Timbalan Setiausaha Agung bersama Wong Chia Zhen dan Sivakumar Krishnan. Dalam masa sama, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dinaikkan sebagai Timbalan Pengerusi PN bersama Muhyiddin, Datuk Dominic Lau dan Punithan Paramsiven.
Lebih menarik perhatian ialah lantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Ketua Penerangan PN. Langkah ini dilihat sangat strategik kerana Annuar merupakan tokoh politik veteran yang mempunyai pengalaman luas dalam kerajaan, parti dan komunikasi politik nasional.
Selain itu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya menggantikan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang kini mengambil peranan sebagai Bendahari Agung.
Lantikan Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi sebagai Ketua Wanita PN dan pengekalan Afnan Hamimi sebagai Ketua Pemuda pula menunjukkan usaha PN memperkukuhkan jentera akar umbi serta sayap parti secara lebih tersusun menjelang PRN dan PRU16.
Apa yang lebih penting sebenarnya ialah perubahan pendekatan komunikasi politik PN sejak Takiyuddin mengambil alih jawatan Setiausaha Agung.
Jika sebelum ini PN sering dilihat terlalu bergantung kepada serangan politik umum dan isu partisan, siri kenyataan media Takiyuddin sejak Mac lalu menunjukkan perubahan besar ke arah pembangkang yang lebih substantif, teknikal dan berorientasikan dasar.
Dalam isu perdagangan antarabangsa misalnya, Takiyuddin mendesak Sidang Khas Parlimen diadakan bagi membincangkan implikasi pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat. Beliau membangkitkan soal ketelusan dasar perdagangan dan kepentingan nasional.
Dalam isu geopolitik pula, beliau mempersoalkan kehadiran aset tentera laut Amerika Syarikat di perairan negara dan menggesa kerajaan menjelaskan kesesuaiannya dengan dasar berkecuali Malaysia.
Takiyuddin juga sangat aktif mengulas isu ekonomi rakyat, khususnya kenaikan diesel, RON95, kos sara hidup dan keselamatan makanan. Beliau bukan sekadar mengkritik kerajaan, malah mengemukakan cadangan seperti cukai durian runtuh sementara, mekanisme penstabilan harga dan bantuan bersasar kepada sektor kritikal.
Dalam isu pesawah dan sekuriti makanan, beliau memberi amaran bahawa kenaikan diesel boleh menjejaskan tahap sara diri beras negara dan meningkatkan kebergantungan import.
PN di bawah Takiyuddin juga semakin aktif membawa isu tadbir urus dan integriti, termasuk mendesak siasatan telus terhadap dakwaan rasuah melibatkan ahli politik, memperkukuhkan SPRM serta mempertahankan kebebasan media dalam isu serbuan terhadap wartawan Malaysiakini.
Dalam isu pengangkutan awam, beliau mengkritik gangguan sistemik di KLIA dan pengangkutan rel bandar manakala dalam isu keselamatan pula beliau mengulas secara berimbang insiden anggota polis memijak kepala seorang individu di Kulim dengan menekankan aspek profesionalisme dan akauntabiliti institusi penguat kuasa.
Semua ini menunjukkan bahawa PN sedang cuba membentuk identiti baharu sebagai pembangkang polisi (policy opposition), bukan sekadar pembangkang retorik.
Dalam masa sama, Annuar pula dilihat sangat aktif memainkan peranan komunikasi politik PN di media sosial dan media alternatif.
Dengan pengalaman luas sebagai bekas Menteri dan bekas Setiausaha Agung UMNO, beliau berjaya membantu PN memperluaskan naratif kepada segmen pengundi Melayu tradisional dan kelompok atas pagar.
Annuar juga dilihat berperanan merapatkan hubungan antara kelompok nasionalis Melayu, penyokong PAS dan bekas akar umbi UMNO yang masih mencari platform politik baharu selepas perubahan landskap politik nasional.
Perkembangan ini menjadi lebih penting menjelang Mesyuarat Majlis Tertinggi PN hari ini yang dijangka memuktamadkan calon Ketua Pembangkang baharu selepas pengunduran Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mesyuarat ini juga dijangka membincangkan penyusunan semula struktur pembangkang di Parlimen serta kemungkinan menerima beberapa parti politik baharu ke dalam gabungan PN. Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, ia akan memberi impak besar kepada masa depan PN.
Pertama, ia menunjukkan PN masih mempunyai daya tarikan politik dan tidak mengalami pengecutan seperti yang cuba digambarkan sesetengah pihak.
Kedua, kemasukan parti baharu boleh memperluaskan pengaruh PN ke kawasan dan segmen pengundi yang sebelum ini kurang dikuasai gabungan tersebut.
Ketiga, lantikan Ketua Pembangkang baharu akan membantu menstabilkan semula struktur pembangkang di Parlimen selepas kekosongan yang berlaku susulan krisis dalam BERSATU.
Keempat, reorganisasi kepimpinan yang lebih tersusun akan membantu PN bergerak sebagai sebuah gabungan yang lebih profesional dan berdisiplin menjelang PRU16.
Paling penting, perubahan ini memberi gambaran bahawa PN kini sedang bergerak daripada fasa politik berasaskan individu kepada fasa politik institusi dan organisasi.
* Prof Ir Dr Hairul Azhar Abdul Rashid ialah Rektor Kolej Universiti TATI

![[INFOGRAFIK] Pengerusi PN di setiap negeri](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2026/05/16/3522967.webp)




