
GEORGE TOWN : Dasar bebas visa selama 30 hari khusus untuk pelancong dari China dan India dilihat menjadi antara pemacu utama yang terus menyokong pertumbuhan sektor pelancongan negara ketika ini.
Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Yeoh Soon Hin berkata, kedua-dua pasaran berkenaan banyak membantu meningkatkan kemasukan pelancong ke Malaysia kerana jumlah penduduk negara itu yang tinggi dan ramai.
“Kalau kita lihat trend global sekarang, pelancong akan fokus kepada tempat pelancongan yang terletak berhampiran mereka sahaja kerana harga tiket kapal terbang yang semakin meningkat.
“Oleh itu, kita juga perlu menumpukan pasaran yang lebih dekat seperti negara-negara ASEAN, China dan India,” katanya kepada pemberita selepas program The Lion Origin Penang 2026, hari ini.
Mengulas lanjut, Soon Hin berkata, negara seperti Indonesia, Thailand dan Singapura pula kekal sebagai pasaran tradisional yang sememangnya menyumbang kepada kedatangan pelancong ke Malaysia dalam apa jua keadaan.
Bagaimanapun katanya, untuk jangka panjang, Tourism Malaysia masih perlu meneroka pasaran lebih jauh bagi memastikan sektor pelancongan negara terus berkembang dan tidak terlalu bergantung kepada pasaran sedia ada.
Sementara itu, beliau berkata, prestasi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) setakat pertengahan tahun ini secara keseluruhannya menunjukkan perkembangan yang positif.
“Dari segi pemasaran dan promosi, semuanya berada di landasan yang betul. Pelancong memang terus datang ke Malaysia. Tetapi, disebabkan isu geopolitik, maka, sasaran itu ada sedikit penyesuaian. Perkara itu saya serahkan kepada menteri untuk umumkan nanti,” katanya.-UTUSAN
The post Dasar bebas visa antara pemacu pertumbuhan sektor pelancongan – Tourism Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






