DRN 2026-2035 pacu pembinaan sejuta rumah mampu milik

11 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DRN 2026-2035 pacu pembinaan sejuta rumah mampu milik

Harga kediaman ditentukan mengikut kemampuan penduduk dan lokaliti, BDA
Perumahan serta Akta Sewaan Kediaman perkukuh ekosistem perumahan negara

PUTRAJAYA: Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 bakal memperluas peluang pemilikan rumah kepada rakyat menerusi sasaran pembinaan sehingga satu juta rumah mampu milik di seluruh negara, selain memperkenalkan penetapan harga kediaman mengikut kemampuan penduduk serta lokaliti.

Pendekatan baharu itu mengambil kira perbezaan pendapatan isi rumah, kos sara hidup, harga tanah dan keadaan pasaran setempat, sekali gus memastikan harga rumah mampu milik lebih realistik serta bersesuaian dengan kemampuan rakyat di setiap negeri.

Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Perumahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Murali Jayabalan berkata, peningkatan bekalan rumah mampu milik merupakan antara komitmen utama DRN 2026-2035 bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang.

Image from: DRN 2026-2035 pacu pembinaan sejuta rumah mampu milik
Murali Jayabalan (kanan) dan Zulkeflee Sulaiman pada Sesi Taklimat Media Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

“Jadi salah satu komitmen utama Dasar Perumahan Negara adalah meningkatkan bekalan rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang. Kerajaan menetapkan sasaran untuk membina sehingga satu juta rumah mampu milik menjelang tahun 2035 dan dasar ini menyokong komitmen tersebut.

“Sasaran ini bukan sekadar angka, tetapi merupakan komitmen nasional untuk memastikan lebih ramai rakyat, khususnya golongan B40, M40, belia serta keluarga muda yang baru memasuki pasaran pekerjaan, mampu memiliki kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti,” katanya ketika menyampaikan

Taklimat Media DRN 2026-2035 di sini pada Khamis lalu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Zulkeflee Sulaiman.

Mengulas lanjut, Murali berkata, antara pembaharuan utama yang diperkenalkan menerusi dasar itu ialah penetapan harga rumah mampu milik berdasarkan kemampuan penduduk di sesuatu lokaliti dan tidak lagi menggunakan satu harga siling yang sama di seluruh negara.

“Kalau sekarang ini harga rumah mampu milik ditentukan secara purata pada RM300,000 bagi semua tempat, dari Perlis hingga ke Sabah dan Sarawak. Tetapi dengan dasar baharu ini, kita tentukan harga rumah mampu milik berasaskan lokaliti. Jika pendapatan isi rumah di sesuatu kawasan lebih rendah, maka harga rumah mampu milik itu juga akan mencerminkan kemampuan penduduk di kawasan tersebut.

“Sebagai contoh di Perlis, Kelantan dan Terengganu, di mana pendapatan minimum rendah, jadi harga rumah tidak semestinya RM300,000, ia mungkin RM200,000 atau lebih rendah,” ujarnya.

Melalui pendekatan baharu yang lebih inklusif, penanda aras harga rumah mampu milik kini diselaraskan mengikut pendapatan purata dan kos sara hidup di lokaliti setempat. Langkah ini diambil bagi memastikan penawaran harga rumah adalah lebih adil dan munasabah mengikut realiti ekonomi penduduk di sesuatu kawasan.

Bagi negeri-negeri seperti Perlis, Kelantan, dan Terengganu, penetapan harga berasaskan lokaliti ini membolehkan harga rumah dijual pada kadar lebih rendah berbanding purata kebiasaan. Manakala di kawasan berdensiti tinggi seperti Kuala Lumpur dan Selangor, penetapan berasaskan data ini membantu pemaju menyediakan kediaman yang berkualiti, selamat, dan kondusif tanpa kompromi.

Sementara itu, Murali berkata, DRN 2026-2035 turut memperkenalkan penggunaan Big Data Analytics (BDA) Perumahan bagi memastikan pembangunan perumahan dirancang berdasarkan keperluan sebenar rakyat.

Jelasnya, BDA Perumahan akan menyatukan data daripada kerajaan negeri dan pelbagai agensi berkaitan termasuk maklumat demografi, pertumbuhan isi rumah, tahap pendapatan, lokasi pekerjaan serta migrasi penduduk bagi membantu kerajaan menentukan lokasi, jenis dan harga rumah yang benar-benar diperlukan.

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengenal pasti lebih tepat di mana rumah perlu dibina, jenis rumah yang diperlukan dan kumpulan sasaran yang memang memerlukan. Kalau sekarang ini kita memang tidak mempunyai data menyeluruh, dengan adanya big data ini, semua data-data perumahan daripada negeri, daripada agensi-agensi berkaitan akan disatukan dalam satu platform.

“Dan kita dapat menjana keperluan sebenar perumahan di sesuatu kawasan, sama ada sesuatu kawasan itu memerlukan rumah mampu milik ke (atau) high-rise, jenis rumah, harga rumah akan ditentukan. Jadi senang untuk kita meluluskan sebarang permohonan, tidak lagi berasaskan kepada permohonan pemaju semata-mata, tapi ini akan berpandukan data dan kita akan meluluskan permohonan tersebut berdasarkan data yang ada,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Murali berkata, DRN 2026-2035 turut memberi penekanan terhadap pembentukan ekosistem sewaan yang lebih adil dan teratur dengan mengiktiraf penyewaan sebagai antara pilihan perumahan yang perlu dilindungi, khususnya bagi golongan belia, keluarga muda serta pekerja yang sering berpindah lokasi.

Kata beliau, antara inisiatif utama yang digariskan ialah penggubalan Akta Sewaan Kediaman (Residential Tenancy Act – RTA) bagi menyediakan kerangka perundangan yang jelas dalam mengawal selia hubungan antara penyewa dan pemilik rumah.

“Buat masa ini, penyewa tidak dilindungi oleh mana-mana akta. Melalui dasar ini, kita sedang menggubal Akta Sewaan Kediaman untuk membantu penyewa dan pemilik rumah dengan menyediakan satu platform bagi mewujudkan urusan sewaan yang lebih teratur dan diiktiraf. Kita mengiktiraf bahawa penyewa merupakan satu kelompok yang perlu diberikan pengiktirafan dan hak mereka juga perlu dipelihara sebagaimana pemilik rumah,” katanya.

Tambahnya, akta berkenaan bertujuan memperjelaskan hak dan tanggungjawab kedua-dua pihak, mengurangkan pertikaian serta meningkatkan keyakinan terhadap pasaran sewaan kediaman.

Selain itu, katanya, DRN 2026-2035 juga merangkumi pelaksanaan projek rintis Skim Sewaan Mampu Milik bagi menyediakan pilihan kediaman sewa yang berkualiti dan berpatutan kepada kumpulan sasar.

“Dasar ini juga mencadangkan penubuhan Tribunal Sewaan sebagai mekanisme penyelesaian pertikaian yang lebih cepat, mudah dan kos efektif berbanding proses litigasi di mahkamah, sekali gus membantu menyelesaikan pertikaian berkaitan perjanjian sewaan dengan lebih efisien,” katanya. – UTUSAN

The post DRN 2026-2035 pacu pembinaan sejuta rumah mampu milik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved