Empat akta baharu pacu reformasi Dasar Perumahan Negara 2026-2035

Business & Finance
11 Aug 2026 • 7:22 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Empat akta baharu pacu reformasi Dasar Perumahan Negara 2026-2035

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal menggubal dan meminda empat akta baharu di bawah Dasar Perumahan Negara (DRN) 2026-2035 bagi memastikan kerangka perundangan sektor hartanah yang lebih komprehensif, progresif dan adil.

Empat perundangan tersebut melibatkan pengenalan Akta Pemaju Harta Tanah, Akta Pengurusan Bangunan, Akta Sewaan Kediaman serta pindaan kepada Akta Pengurusan Strata 2013.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, langkah pengenalan Akta Pembangunan Harta Tanah bertujuan meluaskan skop bidang kuasa legal yang sebelum ini hanya terhad kepada kediaman, untuk turut merangkumi sektor hartanah komersial termasuk ruang kedai dan projek komersial lain.

“Langkah ini penting sebagai jangkauan undang-undang yang menyeluruh untuk kita selangkah lagi menuju ke negara maju. Malah, akta ini kini sudah berada di peringkat akhir penilaian.

“Bagi Akta Pengurusan Bangunan dan pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 pula, ia amat kritikal memandangkan negara kini memiliki hampir tiga juta unit hartanah strata melibatkan lebih 27,000 skim perumahan seperti kondominium dan SOHO,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media selepas pelancaran DRN 2026-2035 di sini semalam.

Reformasi undang-undang strata itu penting bagi mendepani lonjakan kadar urbanisasi negara yang kini mencecah 78 peratus dan diunjur meningkat kepada 85 peratus menjelang tahun 2040 demi memastikan penyelenggaraan bangunan sentiasa selamat dan mesra pengguna.

Sementara itu, beliau berkata, pengenalan Akta Sewaan Kediaman pula bakal bertindak sebagai instrumen bagi mengimbangi serta menjamin kepentingan hak kedua-dua belah pihak antara pemilik hartanah dan juga penyewa secara saksama.

Ujarnya, pasaran perumahan domestik ketika ini kekal berdaya tahan dengan kadar pemilikan rumah dalam kalangan keluarga Malaysia mencatatkan paras tinggi sebanyak 77 peratus, berbanding beberapa negara maju seperti Jerman (42 peratus), United Kingdom (65 peratus) dan Amerika Syarikat (66 peratus).

“Bagi terus menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan anak muda, kerajaan menawarkan bantuan RM40 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi pembeli rumah pertama bernilai bawah RM500,000, dengan baki dana RM18 bilion masih sedia ditawarkan khususnya untuk pekerja gig dan usahawan kecil.

“Bagi menangani isu projek terbengkalai pula, pasukan petugas khas kementerian dalam tempoh tiga tahun lalu berjaya menyelesaikan sebanyak 1,647 projek sakit bernilai RM153 bilion, selain menyasarkan status sifar projek terbengkalai menjelang 2030 melalui pengenalan klausa Pilihan Kriteria Membeli (OTP) akhir tahun ini,” katanya.

Kor Ming berkata, DRN yang sokong oleh enam fokus, 17 strategi dan 59 pelan tindakan itu merupakan langkah strategik negara yang akan menjadi hala tuju pembangunan sektor perumahan bagi tempoh 10 tahun akan datang.

“Dasar ini akan memberi penekanan kepada usaha mewujudkan komuniti yang lebih berkualiti, selamat, inklusif, mampan dan berdaya huni, selain tidak lagi melihat pembangunan perumahan hanya dari sudut pembinaan rumah semata-mata.

“Ia sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dirangka bagi menangani cabaran semasa sektor perumahan termasuk peningkatan kos sara hidup dan perubahan demografi.

“Selain, ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan, lambakan rumah tidak terjual serta projek lewat, sakit dan terbengkalai,” katanya.

Tambahnya, dasar ini akan menjadi dokumen rujukan utama kepada semua kementerian, agensi, Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta pemain industri dalam merancang dan melaksanakan pembangunan perumahan negara sehingga 2035. – UTUSAN

The post Empat akta baharu pacu reformasi Dasar Perumahan Negara 2026-2035 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved