Sultan Perak berangkat ke Pavilion Perak MAHA 2026

2 Sep 2026 • 12:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Sultan Perak berangkat ke Pavilion Perak MAHA 2026

SERDANG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli berangkat ke Pavilion Perak sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 hari ini.

Keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim ke Pavilion Perak pada pukul 10.45 pagi turut diiringi anakanda baginda iaitu Raja Kechil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah.

Keberangkatan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara ke Pavilion Perak turut disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta wakil kerajaan negeri.

Baginda kemudian meluangkan masa lebih dua jam melawat pelbagai pameran yang mengetengahkan potensi sektor agromakanan, pertanian, perikanan dan teknologi selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Dalam lawatan tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan meninjau pameran berkaitan tanaman padi sebelum meluangkan masa melihat pameran zoo penternakan.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyantuni pengunjung serta beramah mesra dengan orang ramai yang hadir memeriahkan Pavilion Perak.

Keberangkatan baginda menceriakan suasana Pavilion Perak yang tahun ini mengetengahkan gabungan agromakanan, teknologi, inovasi, industri, agro-pelancongan, kebudayaan dan warisan.

Pavilion Perak turut menampilkan reka bentuk diinspirasikan daripada Istana Kenangan, Kuala Kangsar, sebagai simbol warisan dan identiti negeri Perak.

Penyertaan Perak turut menghimpunkan pelbagai jabatan, agensi kerajaan dan syarikat swasta bagi memperkukuh promosi sektor pertanian serta potensi ekonomi negeri.

Setakat semalam, seramai 83,530 pengunjung telah melawat Pavilion Perak sejak pembukaan MAHA 2026, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Penyertaan Perak di MAHA 2026 mencerminkan komitmen kerajaan negeri memperkukuh sektor agromakanan, teknologi dan Ekonomi Biru sebagai pemacu ekonomi menjelang 2030. – UTUSAN

The post Sultan Perak berangkat ke Pavilion Perak MAHA 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved