Dayang raih tiga kontrak RM4 bilion selenggara struktur atas laut

LocalBusiness & Finance
28 Apr 2025 • 9:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dayang raih tiga kontrak RM4 bilion selenggara struktur atas laut

image is not available

28/04/2025 - 09:44

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 28 April - Dayang Enterprise Holdings Bhd berjaya meraih tiga kontrak besar penyelenggaraan struktur atas laut daripada syarikat minyak utama dengan nilai anggaran keseluruhan sebanyak RM4 bilion.

Pengarah Urusan Kumpulan, Tengku Datuk Yusof Tengku Ahmad Shahruddin berkata, anak syarikat milik penuh, Dayang Enterprise Sdn Bhd (DESB), dianugerahkan kontrak oleh Petronas Carigali Sdn Bhd untuk kerja penyelenggaraan, pembinaan, pengubahsuaian (MCM) dan pemasangan serta pengoperasian (HUC) luar pesisir bagi Pakej A3 (Aset Sarawak - SKA Oil) dan Pakej A5 (Aset Sabah - SBA Selatan).

Satu lagi kontrak yang dimenangi DESB adalah daripada Sarawak Shell Bhd/Sabah Shell Petroleum Co untuk perkhidmatan MCM & HUC bagi Pakej B4.

Katanya, nilai sebenar kontrak tidak dinyatakan ketika pengumuman pada November 2024, tetapi bayaran akan dibuat berdasarkan kepada arahan kerja yang dikeluarkan oleh Petronas Carigali dan Shell.

Menurut Tengku Yusof, ketiga-tiga kontrak tersebut adalah untuk tempoh lima tahun dengan pilihan lanjutan lima tahun lagi.

"Secara keseluruhan, kumpulan kini mempunyai empat kontrak aktif termasuk kemudahan integriti aset, yang akan menjamin pendapatan kami selama 10 tahun akan datang," katanya dalam laporan tahunan syarikat bagi tahun 2024.

Beliau turut memaklumkan, syarikat sedang menunggu keputusan beberapa tender baharu yang dihantar tahun lalu.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (TK24), Dayang mencatat peningkatan hasil kumpulan sebanyak 32.91% kepada RM1.47 bilion berbanding RM1.11 bilion pada tahun sebelumnya.

Bahagian penyelenggaraan struktur atas menyumbang sebanyak RM941.8 juta, meningkat daripada RM730.4 juta pada tahun sebelumnya.

Bahagian MCM pula menjana hasil sebanyak RM771.9 juta.

Segmen marin juga menunjukkan peningkatan hasil tahunan kepada RM526.3 juta, didorong oleh kadar penggunaan kapal yang tinggi iaitu 68% dan kadar sewaan harian yang lebih baik untuk semua jenis kapal, termasuk kapal pihak ketiga.

Mengenai prospek tahun 2025, Tengku Yusof berkata, ekonomi global dijangka kekal stabil walaupun berdepan cabaran.

"Pada awalnya, kami menjangkakan harga minyak akan stabil antara RM284.54 hingga RM306.42 setong.

"Namun, selepas Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS) dilaksanakan, harga minyak menjadi tidak menentu," jelasnya.

Beliau bagaimanapun percaya, segmen penyelenggaraan platform tidak akan terjejas teruk kerana ia penting bagi mengelakkan gangguan pengeluaran minyak.

Tambahnya, dengan tiga kontrak utama yang telah diperoleh, beliau yakin Dayang berada dalam kedudukan kukuh untuk terus berkembang.

"Kami juga melihat perbelanjaan modal pelanggan yang meningkat sebagai petanda positif permintaan terhadap perkhidmatan penyelenggaraan struktur atas dan kapal sokongan luar pesisir akan kekal tinggi," ujarnya.

Pada Mac dan April 2025, anak syarikat DESB, Marine Services Sdn Bhd menerima beberapa arahan kerja daripada syarikat minyak utama untuk penyewaan kapal sokongan luar pesisir.

Ini termasuk penyediaan dua kapal penginapan, Dayang Berlian dan Dayang Pertama kepada Petronas Carigali masing-masing selama 975 hari (dengan pilihan lanjutan 890 hari) dan 244 hari (dengan pilihan lanjutan 60 hari).

DESB Marine turut meraih kontrak daripada SEA Hibiscus Sdn Bhd untuk menyewa sebuah kapal penginapan selama 110 hari, dengan dua pilihan lanjutan selama 30 hari setiap satu.

Satu lagi kontrak diperoleh daripada Hibiscus Oil & Gas Malaysia Ltd untuk menyewa sebuah kapal kerja selama 30 hari, juga dengan dua pilihan lanjutan selama 30 hari. - DagangNews.com

standard