DBKK, Majlis Daerah Papar tingkat pemantauan kawasan semak

LocalEnvironment
13 Oct 2026 • 4:56 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

DBKK, Majlis Daerah Papar tingkat pemantauan kawasan semak

DEWAN Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) meminta seorang pemilik rumah di Kolombong membersihkan kawasan bersemak di dalam hartanahnya.

Agensi itu juga akan meningkatkan usaha menyelenggara kawasan rizab longkang di belakang rumah penduduk di sebuah kawasan kejiranan di Inanam manakala Majlis Daerah Papar berjanji mengambil tindakan sama bagi kawasan awam di sekitar taman perumahan di Kinarut.

SEORANG pembayar cukai di Inanam membangkitkan keadaan kawasan belakang rumah yang tidak terurus di Ujana Kingfisher.Tindakan itu susulan aduan berasingan mengenai masalah tumbuhan dan rumput yang tidak terurus di Taman Seri Borneo, Ujana Kingfisher dan Taman Villa Intan.

Seorang penduduk di lokasi pertama berkata jirannya semakin mengabaikan penyelenggaraan halaman rumah.

Beliau melahirkan kebimbangan bahawa rumput panjang di kawasan itu boleh mengundang risiko kebakaran selain menjadi tempat pembiakan haiwan perosak, termasuk tikus dan ular.

Sementara itu seorang penduduk Ujana Kingfisher membangkitkan isu penyelenggaraan yang tidak memuaskan terhadap tumbuhan di kawasan rizab longkang di belakang rumahnya.

Menurutnya pekerja pemotong rumput hanya menjalankan kerja dalam tempoh singkat dan setiap kali datang, mereka sekadar memotong beberapa sentimeter bahagian atas rumput.

Pokok keladi liar dan semak samun lain di tepi longkang pula dibiarkan tanpa dipotong, sekali gus menyebabkan kawasan itu kelihatan tidak terurus.

Seorang pembayar cukai di Papar turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap penyelenggaraan kawasan tepi jalan dan taman permainan di Taman Villa Intan.

Beliau berkata kawasan awam itu dipenuhi tumbuhan yang terlalu tinggi sehingga kelihatan seperti hutan kecil tumbuh di sekitar taman perumahan berkenaan.

Setiap pengadu memberikan maklumat berkaitan aduan mereka kepada ruangan Hotline sebelum perkara itu disalurkan kepada agensi berkenaan.

PASUKAN Landskap Majlis Daerah Papar memotong rumput di kawasan tepi jalan sekitar Taman Villa Intan.Jurucakap Jabatan Landskap DBKK berkata kakitangan jabatan itu mengunjungi Taman Seri Borneo dan Ujana Kingfisher sejurus selepas dihubungi pihak media.

“Pemeriksaan mendapati rumput di kawasan halaman rumah di Lorong Seri Borneo 7 sudah lama tidak dipotong.

“Kakitangan kami turut mendapati kawasan belakang rumah di Lorong Ujana 5 kelihatan tidak terurus, dengan sebahagian kawasan rizab konkrit dilitupi tumbuhan menjalar dan rumpai tebal,” katanya.

Beliau berkata pembayar cukai di Taman Seri Borneo itu sudah dimaklumkan supaya membersihkan tanah miliknya secepat mungkin.

“Surat peringatan kacau ganggu semak samun ditampal pada pagar hartanah berkenaan,” ujarnya.

Jurucakap itu berkata pemilik rumah berkenaan diberikan tempoh kelonggaran untuk mematuhi arahan DBKK, dengan tindakan lanjut akan diambil sekiranya gagal berbuat demikian.

Menurutnya ini kali kedua individu itu diminta menyelenggara halaman rumahnya.

Beliau berkata pemilik tanah yang ingkar boleh didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 49 Ordinan Kerajaan Tempatan 1961.

Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Mengenai Ujana Kingfisher, jurucakap itu berkata kontraktor yang dilantik sudah dimaklumkan mengenai keadaan kawasan rizab longkang yang tidak memuaskan di Lorong Ujana 5.

Ketika ditanya mengenai kekerapan rumput di sekitar Ujana Kingfisher dipotong, beliau berkata kerja itu dilakukan setiap bulan.

“Bagaimanapun susulan maklum balas daripada pembayar cukai berkenaan, kami sudah meminta kakitangan membuat pemeriksaan berkala di kawasan awam di sini dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang masalah yang dikenal pasti.

“Langkah ini dapat membantu memastikan kawasan rizab jalan dan longkang sentiasa teratur serta berada pada tahap yang memuaskan,” jelasnya.

Kakitangan Majlis Daerah Papar turut diminta memberi perhatian terhadap keadaan rumput di sekitar Taman Villa Intan.

Jurucakap majlis itu berkata empat kakitangan Jabatan Landskap ditugaskan memotong rumput di kawasan tepi jalan di hadapan dan belakang rumah selepas mengesahkan bahawa aduan pembayar cukai berkenaan berasas.

“Pasukan lain turut memotong rumput di taman permainan kawasan perumahan itu pada waktu yang sama,” katanya.

Beliau berkata rumput di bahu jalan di bawah bidang kuasa majlis diselenggara dua kali sebulan.

Bagaimanapun katanya kakitangan teknikal sudah diminta supaya lebih teliti memeriksa keadaan tumbuhan di kawasan tepi jalan berkenaan.

Beliau mengakui tugas itu sering sukar dilaksanakan sepenuhnya.

“Kawasan pentadbiran cukai kami meliputi kawasan dari Lok Kawi hingga ke Bongawan. Kami tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk meliputi kawasan seluas itu.

“Walaupun mempunyai kakitangan yang mencukupi, mustahil untuk mereka berada di semua tempat pada satu-satu masa,” ujarnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved