
PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan Program Turapan melibatkan 59 kilometer jalan protokol dan jalan utama Kuala Lumpur bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.
Program tersebut membabitkan kira-kira 1.3 juta meter persegi yang dilaksanakan secara berperingkat dalam dua fasa bermula Ogos 2026 hingga Februari 2027.
Antara laluan utama yang terlibat ialah Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Sultan Ismail, Jalan Ampang dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.
DBKL berkata, program berkenaan bukan sekadar membabitkan kerja menurap semula permukaan jalan, sebaliknya turut merangkumi pembaikan kerb, kerja mill and pave, penyelarasan aras manhole serta penandaan semula garisan jalan.
Katanya, kerja penyelenggaraan jambatan, penggantian guardrail dan bridge joint, pemasangan flexible pole serta rumble strip dan pembaikan sistem lampu isyarat di lokasi dikenal pasti turut dilaksanakan.
“Penggunaan Stone Mastic Asphalt (SMA14) dijangka memberikan ketahanan lebih baik terhadap beban berat, manakala garisan jalan menggunakan bahan termoplastik berciri pantulan cahaya bagi meningkatkan keterlihatan pada waktu malam.
“Penambahbaikan permukaan jalan itu turut membantu meningkatkan cengkaman tayar, khususnya ketika keadaan jalan basah atau hujan,” katanya menerusi hanaran di Facebook hari ini.
Melalui program itu, DBKL menyasarkan jangka hayat turapan dapat ditingkatkan sehingga 50 peratus, selain memastikan kawasan terlibat 100 peratus bebas lubang, manakala kos penyelenggaraan rutin pula berpotensi dikurangkan sehingga 40 peratus.
“Bagi mengurangkan gangguan kepada pengguna, kerja penurapan dilaksanakan pada pukul 10 malam hingga 5 pagi dengan penutupan lorong secara berfasa bagi memastikan aliran trafik terus bergerak,” katanya.
DBKL berkata, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada usaha menerjemahkan semangat Ihsan Bandar Raya menerusi penyediaan kemudahan awam yang lebih selamat, berkualiti dan tahan lama.
“Usaha berkenaan diharap dapat memberikan perjalanan lebih lancar dan selesa, selain mengurangkan risiko kerosakan kenderaan serta meningkatkan kualiti hidup warga kota,” katanya. –UTUSAN
The post DBKL turap 59km jalan utama Kuala Lumpur, sasar bebas lubang appeared first on Utusan Malaysia.






