liza22/09/2026 - 17:21 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Sept – Open DC Sdn Bhd merancang untuk meningkatkan kapasiti pusat datanya di Pulau Pinang dan Kedah bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan (cloud) dan sambungan digital rentas sempadan di zon utara Malaysia.
Syarikat itu berkata rancangan berkenaan melibatkan kampus pusat data PE2 di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan pusat data D8-1 di Bukit Kayu Hitam, Kedah.
Open DC akan meningkatkan kapasiti kuasa kritikal PE2 secara berperingkat daripada 30 megawatt (MW) kepada sehingga 100MW di kampus seluas 4.05 hektar (10 ekar) bagi memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.
PE2 mula beroperasi pada April 2025 sebagai pusat data berskala penuh generasi baharu pertama di Pulau Pinang dengan hampir 80% kapasiti fasa awalnya telah diperuntukkan kepada pelanggan daripada sektor semikonduktor, AI dan pengkomputeran awan.
Pengarah Urusan Open DC, Wong Weng Yew berkata langkah itu mencerminkan permintaan berterusan terhadap infrastruktur digital di luar kelompok pusat data tradisional Malaysia, sekali gus mendorong syarikat menambah kapasiti bagi memenuhi keperluan pelanggan dan pasaran.
Permintaan AI pacu keperluan teknologi pusat data
Menurut Wong, pengembangan PE2 akan merangkumi ruang pusat data modular berketumpatan tinggi yang mampu menyokong sehingga 150 kilowatt (kW) bagi setiap rak pelayan (server) dengan kemudahan penyejukan udara dan penyejukan cecair.
Keupayaan itu direka untuk menyokong beban kerja AI serta pengkomputeran berprestasi tinggi yang memerlukan kapasiti kuasa dan sistem penyejukan lebih tinggi berbanding penggunaan pusat data biasa.
Penggunaan penyejukan cecair juga menjadi antara teknologi penting yang semakin digunakan dalam industri pusat data, khususnya apabila permintaan terhadap pelayan berprestasi tinggi dan aplikasi AI terus meningkat.
Wong berkata, keadaan iklim tropika Malaysia turut memberikan cabaran tambahan dalam membangunkan dan mengendalikan sistem penyejukan pusat data yang sangat cekap, menjadikan keupayaan tempatan dalam teknologi berkenaan semakin penting.
Selain itu, PE2 turut menempatkan nod pengangkutan bagi Penang Internet Exchange milik DE-CIX Malaysia yang membantu mengukuhkan sambungan rangkaian digital serantau dari Pulau Pinang.
Open DC bangunkan vendor tempatan
Dalam pada itu, beliau berkata Open DC turut memberi tumpuan kepada pembangunan vendor dan tenaga kerja tempatan bagi menyokong penggunaan teknologi pusat data yang semakin maju di Malaysia.
Wong berkata, sepanjang 10 tahun beroperasi, syarikat itu memilih vendor tempatan untuk menyertai projeknya dan bekerja bersama pembekal peralatan global yang mempunyai teknologi penyejukan canggih.
“Pendekatan itu membolehkan syarikat Malaysia mendapat pendedahan kepada teknologi yang mungkin sukar mereka akses tanpa penglibatan dalam projek pusat data berskala besar, termasuk teknologi penyejukan cecair.
“Open DC juga mewajibkan pembekal peralatan melakukan berkongsi kepakaran dengan syarikat tempatan, termasuk melatih pekerja serta melibatkan mereka dalam pasukan yang bertanggungjawab menyediakan penyelesaian lengkap kepada pusat data,” katanya.
Menurut Wong, pendekatan berkenaan diharap dapat mewujudkan kumpulan tenaga kerja dan vendor tempatan yang mempunyai kepakaran khusus untuk terus menyokong perkembangan industri pusat data Malaysia.
Namun, nilai pelaburan dan tempoh jangkaan siap bagi rancangan pengembangan PE2 serta D8-1 masih belum didedahkan. - DagangNews.com





