Dedah segera laporan kajian bidang kuasa DUN gubal undang-undang Syariah

LocalPolitics
2 Sep 2026 • 11:01 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Dedah segera laporan kajian bidang kuasa DUN gubal undang-undang Syariah

PETALING JAYA: Kerajaan digesa mendedahkan keseluruhan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam Penggubalan Undang-Undang Islam (JKK).

Gesaan itu dibuat 10 peguam dalam satu kenyataan dengan menyifatkan laporan berkenaan penting khususnya berkaitan struktur perundangan negara, bidang kuasa legislatif negeri dan pentadbiran undang-undang Islam serta institusi berkaitan.

Menurut kenyataan itu, JKK yang ditubuhkan pada 2023 dan diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi telah diberikan tempoh setahun untuk menyempurnakan kajiannya dan telah menyelesaikan tugasan tersebut dalam tempoh ditetapkan.

“Pada Mac 2025, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama ketika itu turut mengumumkan bahawa laporan JKK telah siap dan sedia untuk dibentangkan.

“Namun demikian sehingga kini, setelah hampir setahun setengah daripada pengumuman tersebut, laporan berkenaan masih belum dibentangkan kepada masyarakat umum,” katanya hari ini.

10 pengamal undang-undang tersebut Datuk Lukman Sheriff Alias, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Fakhrul Azman Abu Hasan, Datuk Megat Abdul Munir, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab, Datuk Adnan Seman, Yusfarizal Yusoff, Muhamad Hisham Marzuki, Ahmad Edham Abdulwani dan Aidil Khalid.

Menurut kenyataan tersebut, pendedahan laporan tersebut membolehkan masyarakat memahami dengan lebih jelas isu perlembagaan dan perundangan yang dikenal pasti JKK, kesan keputusan mahkamah terhadap kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam menggubal undang-undang Syariah serta cadangan penambahbaikan yang dikemukakan.

Selain itu katanya, ia membolehkan kerajaan, negeri-negeri dan pihak berkepentingan meneliti langkah yang boleh diambil bagi memastikan sistem perundangan negara terus berfungsi secara jelas, teratur dan selaras dengan asas Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan perlu menjelaskan pendirian serta tindakan susulan terhadap syor-syor yang dikemukakan JKK, selain memastikan sebarang proses pembaharuan atau penggubalan undang-undang susulan laporan itu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati.

“Proses berkenaan juga perlu melalui libat urus sewajarnya dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa agama, badan kehakiman dan perundangan, ahli akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat awam,” jelasnya. – UTUSAN

The post Dedah segera laporan kajian bidang kuasa DUN gubal undang-undang Syariah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved