Defisit fiskal turun kepada 3.7 peratus, perkukuh keyakinan pelabur

Business & Finance
7 Aug 2026 • 6:54 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Defisit fiskal turun kepada 3.7 peratus, perkukuh keyakinan pelabur

KUALA LUMPUR: Kejayaan kerajaan mengurangkan defisit fiskal negara daripada 6.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 kepada 3.7 peratus tahun lalu terus memperkukuh keyakinan pelabur terhadap ekonomi Malaysia, sekali gus mewujudkan ruang lebih besar untuk memacu pertumbuhan sektor swasta.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pencapaian itu hasil pelaksanaan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, penyasaran semula subsidi bahan api serta pemodenan pentadbiran cukai menerusi e-invois.

Menurutnya, disiplin fiskal yang konsisten turut diterjemahkan melalui sambutan kukuh terhadap terbitan sukuk global AS$1.5 bilion Malaysia bulan lalu yang menerima permintaan 4.7 kali ganda daripada lebih 140 pelabur antarabangsa.

“Perkembangan itu bukan sahaja meningkatkan keyakinan terhadap risiko kedaulatan Malaysia, malah membantu mengurangkan kos pembiayaan syarikat tempatan yang mendapatkan dana di pasaran antarabangsa.

“Justeru, institusi kewangan perlu memperkukuh sokongan pembiayaan kepada syarikat Malaysia pada peringkat awal pertumbuhan bagi melahirkan lebih banyak syarikat berdaya saing di peringkat serantau,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada RHB Progress Series 2026.

Jelas beliau, kerajaan tidak mampu mencapai matlamat yang diinginkan secara bersendirian kerana sebahagian besar modal, inovasi dan pengembangan perniagaan akhirnya perlu datang daripada sektor swasta.

“Peranan kerajaan adalah memastikan asas ekonomi kekal kukuh dan diyakini, menggunakan modal awam untuk membuka peluang pasaran serta memudahkan modal swasta memainkan peranan yang lebih besar.

“Penerbitan sukuk global baru-baru ini menjadi penanda aras penting terhadap keyakinan pelabur antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia.

“Persoalannya kepada bank, pemilik aset dan pengurus dana di sini ialah sama ada sistem kewangan kita mempunyai kepakaran serta instrumen yang mencukupi untuk menyokong syarikat Malaysia yang berpotensi lebih awal dalam perjalanan pertumbuhan mereka,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu terus memperkukuh kredibiliti fiskal, memperluas akses kepada modal dan membina keyakinan pelabur bagi memastikan negara mampu melangkah ke fasa pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Katanya, gabungan ketiga-tiga elemen itu menjadi asas penting dalam menarik pelaburan berkualiti tinggi yang bukan sahaja membawa masuk modal, malah meningkatkan keupayaan industri tempatan serta kemahiran tenaga kerja.

“Pembangunan Bayan Lepas di Pulau Pinang membuktikan setiap pelaburan yang masuk mampu mewujudkan rantaian nilai baharu melalui pembangunan bakat, pembekal tempatan dan infrastruktur.

“Insentif mungkin membantu menarik pelaburan pertama, tetapi keupayaan yang dibina di sekelilingnya akan membawa peluasan pelaburan, projek baharu dan pelabur kembali semula,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan terhadap ekonomi Malaysia turut diterjemahkan menerusi pelaburan diluluskan berjumlah rekod RM431.1 bilion tahun lalu, dengan pelabur domestik menyumbang RM219.6 bilion atau lebih separuh daripada jumlah keseluruhan.

Katanya, menerusi inisiatif GEAR-uP, enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) komited melaburkan tambahan RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik sepanjang lima tahun.

Tambah beliau, pasaran modal Malaysia yang kini bernilai RM4.3 trilion disasarkan berkembang kepada antara RM5.8 trilion hingga RM6.3 trilion menjelang 2030.

“Kerajaan boleh menyediakan kepastian, tetapi pasaran perlu berani mengambil risiko untuk menyokong syarikat, teknologi dan model perniagaan baharu sebelum kejayaannya terbukti,” katanya. – UTUSAN

The post Defisit fiskal turun kepada 3.7 peratus, perkukuh keyakinan pelabur appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved