Denda RM42.5 juta di Indonesia tekan keuntungan TSH Resources hingga merosot 68%

LocalBusiness & Finance
18 Nov 2026 • 5:15 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Denda RM42.5 juta di Indonesia tekan keuntungan TSH Resources hingga merosot 68% Image from: Denda RM42.5 juta di Indonesia tekan keuntungan TSH Resources hingga merosot 68% sarah18/11/2026 - 17:15 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 Nov - Keuntungan bersih TSH Resources Berhad merosot 68% kepada RM17.8 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2026 selepas mengambil kira denda pentadbiran sebanyak RM42.5 juta yang dikenakan terhadap anak syarikatnya di Indonesia oleh pasukan petugas penguatkuasaan kawasan hutan negara itu.

 

Denda sebanyak 184.347 bilion rupiah (RM42.5 juta) itu dikenakan oleh Pasukan Petugas Penguatkuasaan Kawasan Hutan Indonesia (Satgas) terhadap PT Sarana Prima Multi Niaga, anak syarikat tidak langsung milik 90% TSH Resources, berkaitan tindakan penguatkuasaan kawasan hutan di negara berkenaan.

 

Menurut laporan kewangan suku ketiga yang diumumkan kepada Bursa Malaysia hari ini, denda itu telah diambil kira dalam keputusan kewangan bagi tempoh berkenaan, sekali gus memberi kesan ketara terhadap keuntungan kumpulan walaupun prestasi operasi perladangan bertambah baik.

 

Bagaimanapun, laporan kewangan TSH Resources tidak memperincikan kesalahan khusus yang menyebabkan denda itu dikenakan, selain menyatakan bahawa tindakan berkenaan diambil oleh Satgas, yang bertanggungjawab terhadap penguatkuasaan kawasan hutan di negara itu.

 

Keuntungan merosot meskipun hasil meningkat

TSH Resources mencatatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM17.8 juta berbanding RM56.4 juta pada suku sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 5% kepada RM277.7 juta.

 

Keuntungan sebelum cukai turut merosot 46% kepada RM46.8 juta daripada RM86.5 juta, terutamanya akibat denda tersebut, sedangkan keuntungan teras sebelum cukai meningkat 4% kepada RM89.3 juta berbanding RM86 juta sebelumnya.

 

Prestasi itu menunjukkan bahawa penyusutan keuntungan dilaporkan lebih banyak dipengaruhi oleh denda pentadbiran berkenaan berbanding kelemahan operasi utama kumpulan.

 

Operasi sawit Indonesia catat peningkatan

Sementara itu, keuntungan operasi segmen produk sawit meningkat 6% kepada RM98.7 juta daripada RM92.9 juta, disokong peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan isirung sawit di Indonesia masing-masing sekitar 14% dan 15%.

 

Pengeluaran buah tandan segar (BTS) kumpulan turut meningkat 7% kepada 217,151 tan berbanding 202,510 tan setahun sebelumnya, didorong prestasi lebih baik di Indonesia, walaupun pengeluaran di Sabah terjejas akibat pengurangan kawasan penuaian susulan aktiviti penanaman semula.

 

Bagaimanapun, bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham merosot 40% kepada RM91.6 juta daripada RM153.8 juta, mencerminkan tekanan terhadap prestasi kewangan keseluruhan kumpulan.

 

Melangkah ke suku keempat, TSH Resources menjangkakan harga MSM terus menghadapi tekanan berikutan paras stok yang tinggi, manakala keadaan cuaca kering akibat El Niño turut berpotensi menjejaskan pengeluaran buah tandan segar.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved