sarah17/11/2026 - 10:10 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Unjuran keuntungan bersih teras LAC Med Bhd bagi tahun kewangan 2026 (FY26) berisiko susut sehingga 22% sekiranya pengeluaran bil bagi projek bernilai antara RM40 juta hingga RM50 juta tertangguh ke suku pertama 2027, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB Research).
RHB Research berkata, risiko penangguhan pengebilan itu berpunca daripada kelewatan kelulusan kawal selia di bawah Bahagian Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) serta kerja pengubahsuaian di premis pelanggan, yang boleh menjejaskan masa pengiktirafan hasil projek kumpulan.
Firma penyelidikan itu berkata, suku keempat 2026 dijangka menyumbang kira-kira 50% daripada anggaran hasil tahunan LAC Med, menjadikan sebarang kelewatan pengebilan sebagai risiko utama kepada prestasi kewangan jangka pendek syarikat.
Bagaimanapun, RHB Research menjelaskan bahawa penangguhan tersebut lebih berkaitan dengan masa pengiktirafan hasil dan bukannya kehilangan kontrak, sekali gus berpotensi meningkatkan sumbangan pendapatan bagi FY27 sekiranya pengebilan berkenaan direalisasikan pada tahun depan.
Kontrak baharu dijangka sumbang keuntungan RM3 juta
Dalam perkembangan berkaitan, RHB Research menganggarkan kontrak baharu LAC Med bernilai RM28.1 juta bagi membekalkan peralatan pengimejan perubatan kepada sebuah hospital swasta di utara Semenanjung Malaysia berpotensi menjana keuntungan bersih kira-kira RM3 juta berdasarkan andaian margin keuntungan teras 10.6%.
Kontrak itu mewakili kira-kira 9% daripada unjuran hasil kumpulan bagi FY27 dan 17% daripada hasil segmen pembekalan serta integrasi peralatan perubatan, dengan kerja pemasangan dan pengujian dijadualkan siap menjelang 1 Ogos 2027.
RHB Research turut menganggarkan buku tempahan LAC Med meningkat sebanyak RM57.6 juta kepada RM288.1 juta antara 30 September hingga 15 November 2026, termasuk kira-kira RM29.5 juta tambahan bersih selepas mengambil kira pengebilan yang belum diperincikan dalam pengumuman kontrak terbaharu.
Saham berpotensi meningkat kepada 86 sen
Sementara itu, Mercury Securities Sdn Bhd (Mercury Securities) berkata, saham LAC Med menunjukkan tanda pemulihan selepas menembusi garis aliran menurun selama 11 bulan sejak Januari 2026, dengan harga penutup terakhir 75 sen berbanding paras terendah baru-baru ini sebanyak 63.5 sen.
Firma broker saham itu berkata, momentum belian semakin kukuh apabila Indeks Kekuatan Relatif (RSI) meningkat kepada 68.70, menghampiri paras terlebih beli 70, manakala harga saham kembali melepasi purata bergerak eksponen (EMA) 20 hari dan 50 hari, tetapi masih berada di bawah EMA 200 hari.
Mercury Securities mengenal pasti paras rintangan terdekat pada 80 sen sebelum berpotensi meningkat kepada 86 sen sekiranya momentum belian berterusan, manakala RHB Research mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran RM1.16 sesaham, menawarkan potensi kenaikan sekitar 55% berbanding harga rujukan 75 sen.- DagangNews.com






