Desa Pinggiran Putra dilanda banjir kilat tiga kali bulan ini

LocalEnvironment
28 Nov 2026 • 11:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Desa Pinggiran Putra dilanda banjir kilat tiga kali bulan ini

SHAH ALAM, 28 NOV: Banjir kilat yang melanda Desa Pinggiran Putra, Kajang sebanyak tiga kali bulan ini dipercayai berpunca daripada masalah longkang tersumbat dan projek pembangunan baharu di kawasan berhampiran.

Penduduk, Nur Syakinah Alimuddin, 23, berkata kejadian terbaharu berlaku malam semalam apabila air naik dengan cepat susulan hujan lebat.

“Setiap kali hujan lebat, pasti air naik hingga kira-kira 0.5 meter, malah air yang naik turut disertai lumpur.

“Terbaru, kawasan ini dilanda banjir kilat, malam tadi (semalam) selepas hujan lebat kira-kira jam 6 petang.

“Tidak sampai sejam, air sudah memenuhi separuh jalan,” katanya seperti dilapor BH.

Nur Syakinah mendakwa keadaan longkang tersumbat menyebabkan paras air meningkat dalam tempoh singkat, manakala projek pembinaan berhampiran dipercayai menyebabkan air banjir bercampur lumpur.

“Saya rasa longkang tersumbat menyebabkan air naik dengan cepat setiap kali hujan lebat.

“Hanya dalam beberapa minit, air sudah naik hingga paras betis.

“Malah, projek baharu di lokasi berhampiran pula menyebabkan air banjir disertai dengan lumpur menyebabkan jalan menjadi kotor selepas air surut,” dakwanya.

Sementara itu, guru tadika, Atirah Hassim, 35, berkata kejadian banjir yang kerap berlaku turut menjejaskan kawasan parkir kenderaan dan sebuah sekolah berhampiran.

“Lazimnya, lokasi yang dilanda banjir di kawasan ini ialah sebahagian jalan raya yang merangkumi tempat parkir kenderaan serta sebuah sekolah berhampiran.

“Jadi setiap kali hujan lebat, saya akan minta rakan sekerja mengalihkan kenderaan mereka sebelum ditenggelami air berserta lumpur,” katanya.

Terdahulu, beberapa rakaman video memaparkan sebuah sekolah di Desa Pinggiran Putra dilanda banjir kilat tular di media sosial semalam.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved