
PETALING JAYA – Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026 selepas dibahaskan dan digulung oleh Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd. Shahar Abdullah, yang menyifatkan akta baharu itu sebagai langkah penting memperkukuh Sistem Statistik Negara.
Mohd. Shahar berkata, RUU itu bertujuan memperkukuh tadbir urus Sistem Statistik Negara, memperkasa peranan Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai Pejabat Statistik Kebangsaan, meningkatkan penggunaan data pentadbiran dalam penghasilan statistik rasmi serta menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti.
“RUU Statistik 2026 telah digubal bagi memperkukuh peranan Jabatan Statistik Malaysia sebagai peneraju statistik rasmi negara melalui penetapan standard, definisi dan metodologi yang seragam,” katanya.
Beliau berkata, RUU berkenaan turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan kerahsiaan data dengan memastikan akses hanya diberikan kepada pegawai yang diberi kuasa mengikut keperluan tugas.
“Data yang diterima oleh Jabatan Statistik disimpan dalam repositori yang selamat dengan kawalan akses yang ketat. Hanya pegawai yang diberi kuasa boleh mengakses data mengikut keperluan tugas,” katanya.
Menurut beliau, data yang diterbitkan atau dikongsi juga tidak akan mendedahkan identiti mana-mana individu atau entiti, selain tidak boleh digunakan bagi menentukan liabiliti cukai atau levi.
Dalam pada itu, individu atau syarikat yang gagal mematuhi arahan mengemukakan data atau memberikan maklumat tidak benar boleh dikenakan denda sehingga RM50,000, manakala kesalahan yang berterusan selepas sabitan boleh didenda tambahan sehingga RM2,000 sehari.
Mohd. Shahar berkata, RUU itu turut memperuntukkan penubuhan Majlis Statistik Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri bagi menyelaras dasar, strategi dan tadbir urus statistik negara.
Jelasnya, pelaksanaan akta tersebut dijangka mengurangkan pertindihan pengumpulan data, menjimatkan kos kerajaan serta menghasilkan statistik yang lebih tepat dan komprehensif untuk kegunaan kerajaan dan rakyat.
“Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan RUU Statistik 2026 akan meningkatkan keyakinan rakyat, pembuat dasar dan pengguna statistik terhadap kualiti, integriti serta kebolehpercayaan statistik rasmi negara,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Dewan Negara lulus RUU Statistik 2026 appeared first on Kosmo Digital.






