
BAGAIMANAKAH sebuah institusi yang mempunyai lembaga, pengurusan profesional, panel pelaburan, juruaudit, penasihat syariah, fungsi kawalan dan kementerian pengawal masih boleh sampai ke tahap ini?
Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji setebal 211 halaman mengemukakan 25 syor penambahbaikan.
Kerajaan memaklumkan bahawa kira-kira 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan dan siasatan penguatkuasaan akan diteruskan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Ini perkembangan yang wajar diiktiraf, tetapi baki syor serta keberkesanan pelaksanaannya tetap perlu dipantau secara terbuka.
Kuasa tertumpu
Antara isu utama yang dikenal pasti RCI ialah keluasan kuasa menteri, termasuk dalam pelantikan dan penamatan anggota lembaga serta keputusan tertentu yang mempunyai implikasi besar terhadap institusi.
Masalahnya bukan semata-mata siapa yang menjadi menteri. Masalah sebenarnya ialah apabila terlalu banyak kuasa tertumpu pada satu jawatan tanpa mekanisme semak dan imbang yang setara.
Menteri mempunyai mandat politik dan tanggungjawab dasar, tetapi tidak semestinya memiliki kepakaran mendalam dalam pengurusan dana, pelaburan, perakaunan, risiko dan kewangan institusi.
Dalam urusan hibah pula, Akta Tabung Haji 1995 memperuntukkan bahawa lembaga menentukan keuntungan boleh agih, tetapi pengisytiharannya memerlukan kelulusan menteri.
Apabila pihak yang mempunyai kuasa statutori bergantung kepada cadangan pengurusan, sedangkan lembaga pula tidak cukup kompeten atau bebas untuk mencabar, kuasa sebenar secara tidak langsung boleh beralih kepada pihak yang menguasai maklumat, iaitu pengurusan.
Lantikan politik
RCI mengesyorkan ahli politik aktif tidak dilantik sebagai pengerusi atau anggota Lembaga TH dan anak syarikatnya. Isunya bukan label “ahli politik” semata-mata, tetapi asas dan tujuan pelantikan tersebut.
Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) menekankan pelantikan berdasarkan merit, kemahiran, pengalaman, integriti, kebebasan pertimbangan dan komitmen masa.
Walaupun MCCG disasarkan terutamanya kepada syarikat tersenarai, kod tersebut sendiri menggalakkan entiti tidak tersenarai, termasuk perusahaan milik kerajaan, menerima pakainya sebagai aspirasi dan penanda aras tadbir urus.
Bagi sebuah institusi yang mengurus simpanan dan amanah umat Islam, standardnya sepatutnya sekurang-kurangnya setara, malah lebih tinggi.
Banyak jawatan
RCI turut merekodkan anggota lembaga dan pegawai kanan yang memegang banyak jawatan dalam anak syarikat TH.
Dalam kalangan anggota lembaga, terdapat individu yang memegang tujuh, lapan atau sembilan jawatan dalam anak syarikat.
Seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) dilaporkan menduduki 18 lembaga, manakala ketua pegawai kewangan (CFO) Kumpulan berada dalam 23 lembaga anak syarikat.
Sebahagian pengarah bebas pula menduduki sebagai ahli lembaga dalam tujuh anak syarikat, ini tidak termasuk penglibatan mereka sebagai ahli lembaga pengarah di syarikat-syarikat lain.
Memegang 23 jawatan tidak semestinya secara automatik melanggar undang-undang. Had lima jawatan Bursa merujuk kepada jawatan pengarah dalam syarikat tersenarai, bukannya secara automatik semua anak syarikat tidak tersenarai.
Namun, tadbir urus tidak boleh dinilai hanya melalui persoalan, “Adakah ia melanggar undang-undang?” Ia harus ditanya secara profesional, rendah hati dan bermaruah dalam kalangan profesional itu sendiri.
Apabila CFO Kumpulan turut berada dalam begitu banyak lembaga anak syarikat, risiko self-review menjadi nyata.
Individu yang terlibat menyediakan atau menyatukan maklumat kewangan mungkin turut meluluskan akaun anak syarikat dan kemudiannya melaporkan prestasi tersebut kepada lembaga induk.
MCCG meminta lembaga menilai sama ada seseorang pengarah terlalu terbeban atau overstretched. Maka, walaupun 23 jawatan itu tidak semestinya melanggar had khusus, ia tetap sukar dipertahankan dari sudut masa, fokus, kebebasan pertimbangan dan keberkesanan pengawasan.
Terlalu dominan
Lembaga sepatutnya menentukan arah, meluluskan perkara material, mengawasi risiko dan mencabar pengurusan.
Namun, jika anggota lembaga: Tidak mempunyai kompetensi yang sepadan; terlalu banyak memegang jawatan; bergantung sepenuhnya kepada maklumat pengurusan; tidak mempunyai masa meneliti kertas; terikat dengan pihak yang melantik mereka; atau enggan merekodkan pandangan berbeza, maka semak dan imbang hanya tinggal pada carta organisasi.
Dalam bilik mesyuarat yang mempunyai pelbagai agenda, kertas yang tebal dan masa yang terhad, pihak yang menguasai maklumat lazimnya akan menguasai keputusan.
Lembaga mungkin mempunyai kuasa di atas kertas, tetapi pengurusan memiliki angka, konteks, akses kepada operasi dan keupayaan menentukan bagaimana sesuatu isu dibentangkan.
Tanpa lembaga yang kompeten, berani dan benar-benar bebas, keputusan pengurusan mudah diterima sebagai formaliti.
Inilah perbezaan antara governance in form dengan governance in substance, struktur kelihatan lengkap, tetapi fungsi mencabar, menyemak dan mempertanggungjawabkan tidak benar-benar berlaku.
Mengapa diam?
Pihak profesional bertanggungjawab untuk bertanya soalan yang sukar; menguji andaian pengurusan; meminta pandangan bebas; mengisytiharkan dan mengurus konflik kepentingan; menolak keputusan yang tidak wajar; dan memastikan pandangan berbeza serta bantahan direkodkan dalam minit.
Lembaga juga dibenarkan membuat pertimbangan perniagaan berdasarkan maklumat yang munasabah pada ketika itu. Namun, apabila terdapat red flags, amaran terdahulu atau percanggahan angka, pergantungan membuta tuli kepada pengurusan bukanlah suatu pembelaan yang memadai.
Berdiam diri ketika seseorang mengetahui atau sepatutnya mengetahui kewujudan tanda amaran bukanlah sikap neutral. Dalam tadbir urus, diam kadangkala menjadi sebahagian daripada kegagalan kawalan.
Banyak lapisan
TH mempunyai lembaga, pengurusan profesional, panel pelaburan, juruaudit, kementerian pengawal dan pelbagai fungsi kawalan.
Namun, apabila setiap pihak menganggap pihak lain telah menjalankan tugasnya, terjadilah accountability gap: Semua mempunyai peranan, tetapi akhirnya tiada siapa benar-benar memikul tanggungjawab.
Sebab itu reformasi tidak boleh berhenti pada pertukaran individu. Ia perlu menyentuh struktur dan budaya, antaranya:
Mengehadkan kuasa menteri dan memperjelas perkara yang memerlukan semakan bebas; menetapkan matriks kompetensi lembaga; menghalang pelantikan ahli politik aktif; mewujudkan proses pencalonan yang telus dan bebas; mengehadkan jawatan silang dalam anak syarikat; memisahkan fungsi penyedia, pelulus dan penyemak; melaksanakan penilaian keberkesanan lembaga secara bebas; merekodkan pandangan berbeza dan bantahan dalam minit; mengukuhkan perlindungan pemberi maklumat; memperkenalkan mekanisme clawback terhadap bonus berasaskan keuntungan yang terlebih nyata; (selari dengan saranan RCI) dan menerbitkan kemajuan pelaksanaan semua syor RCI secara berkala (serta tindakan susulan dari dapatan RCI).
Makluman 75 peratus syor telah dilaksanakan ialah permulaan yang positif. Namun, pelaksanaan tidak sepatutnya dinilai berdasarkan jumlah syor yang ditandakan “selesai” semata-mata. Yang perlu dinilai ialah sama ada reformasi tersebut benar-benar mengubah struktur kuasa, tingkah laku lembaga dan budaya membuat keputusan.
Keberanian
Undang-undang boleh dipinda. Struktur boleh disusun semula. Jawatankuasa baharu boleh diwujudkan.
Namun, jika budaya “jangan persoalkan pihak yang melantik kita” masih kekal, kepincangan yang sama boleh berulang dalam bentuk dan institusi yang berbeza.
Semangat MCCG, profesionalisme dan tadbir urus Islam bertemu pada prinsip yang sama:
Mereka yang diberikan amanah bukan sekadar perlu bebas daripada salah laku. Mereka mesti mempunyai kompetensi, masa, kebebasan dan keberanian untuk menghalang salah laku daripada bermula.
Reformasi sepatutnya dilakukan sebaik sahaja mandat diterima, termasuk mengehadkan pelantikan politik dalam lembaga agensi dan syarikat berkepentingan awam.
Ini bukan soal parti atau kerajaan mana. Institusi tersebut bukan milik pemerintah yang sedang berkuasa. Ia amanah dan hak rakyat.
Selagi pelantikan dibuat berdasarkan kedudukan dan kesetiaan, bukannya kompetensi, integriti dan kebebasan pertimbangan, rakyat akhirnya akan menanggung akibatnya.
Reformasi sebenar ialah keberanian mengehadkan kuasa dan kepentingan politik sendiri ketika sedang berkuasa, bukan sekadar membongkar kelemahan pemerintahan terdahulu.
Persoalan RCI ini bukan sekadar tentang apa yang telah berlaku kepada Tabung Haji. Persoalan yang lebih besar ialah: Berapa banyak lagi institusi awam mempunyai struktur kuasa, budaya pelantikan dan sikap berdiam diri yang sama, tetapi pintunya masih belum terbuka kepada pengetahuan masyarakat?
Institusi awam bukan habuan politik. Ia amanah dan milik rakyat. – UTUSAN
MOHAMAD Faisal Abdul Malik ialah Akauntan Bertauliah, Pengarah Kumpulan Faisal Malik & Co serta bekas Naib Presiden dan Ahli Majlis MIA (Institut Akauntan Malaysia), Profesor Adjung UiTM dan ahli Panel Disiplin Majlis Peguam Malaysia.
The post Di mana silap Tabung Haji? appeared first on Utusan Malaysia.






