RXZ Members 8.0 terus cetus kontroversi

6 Aug 2026 • 8:46 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: RXZ Members 8.0 terus cetus kontroversi

PROGRAM RXZ Members 8.0 pada hujung minggu lalu sepatutnya dikenang sebagai penganjuran paling berjaya kerana meraih kira-kira 200,000 peserta.

Jenama program itu semakin kukuh sehingga mampu menarik kesetiaan peserta dari Negeri Sembilan yang sanggup memecut jentera sejauh hampir 500 kilometer ke Pantai Timur selepas selesai mengundi dalam Pilihan Raya Negeri.

Program RXZ Members tidak terlepas daripada kontroversi apabila mendapat kritikan ramai walaupun sudah memasuki edisi kelapan.

Kebanyakanya berpunca daripada sikap segelintir peserta sehingga pemilihan Terengganu sebagai lokasi penganjuran dijadikan sebagai ‘kambing hitam’.

Walaupun penganjur menekankan budaya menunggang secara berhemah dengan menukar slogan ‘Yang Santai, Pasti Sampai’, masih ramai penunggang yang melanggar peraturan.

Ini terbukti apabila 222 buah motosikal peserta RXZ Members 8.0 disita pihak polis atas pelbagai kesalahan.

Kadar kemalangan melibatkan peserta meningkat kepada 46 kes, manakala kematian 11 orang adalah tertinggi dalam edisi penganjuran RXZ Members. Dua beranak turut menjadi mangsa apabila melecur teruk dalam nahas melibatkan peserta RXZ Members dalam kejadian di Kuala Nerus.

Selain itu, terdapat segelintir pihak disyaki menjual air ketum secara terbuka dengan menyasarkan peserta RXZ Members. Sikap segelintir peserta yang gemar membuang sampah merata-rata mencecah 130 tan turut menjadi rungutan pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Pengarah RXZ Members, Mohd. Lukhman Hassan berkata, pihaknya sentiasa komited menjalin kerjasama dengan polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) demi kelancaran program dan ketenteraman awam.

Menurutnya, segala saranan pihak berkuasa dipatuhi termasuk kempen pemanduan berhemah.

“Hal kematian agak sensitif, tetapi ingin saya jelaskan semua kemalangan maut yang direkodkan tiada satu pun atas faktor berlumba,” katanya kepada Kosmo!.

Mohd. Lukhman turut menghargai kecekapan pihak polis melakukan penguatkuasaan tanpa mengganggu perjalanan peserta dan kelancaran program.

Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Mohd. Zamri Samion berkata, isu berbangkit tersebut membuktikan penganjur program berskala besar seperti RXZ Members perlu mengukuhkan lagi budaya keselamatan melibatkan semua pemegang taruh terutama peserta dan agensi berkaitan pada masa hadapan.

“Peserta perlu terus dididik supaya memberi penekanan terhadap perancangan jadual perjalanan, pematuhan undang-undang dan mempunyai insurans perlindungan,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris pula memberitahu, sudah tiba masanya kerajaan negeri dilibatkan dalam penganjuran RXZ Members.

“Selama ini, program RXZ Members diuruskan sendiri oleh penganjur. Lain kali (selepas ini), libatkan kerajaan negeri dalam usaha melicinkan lagi pengurusan dan perjalanan program.

“Bukan mahu mengambil mileage (kredit), tetapi apa sahaja yang berlaku terhadap program berskala besar seperti ini, imej negeri Terengganu sudah pasti terpalit,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post RXZ Members 8.0 terus cetus kontroversi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved