
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (8 September), sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Services) membawa lima individu terhempas berhampiran Long Lellang STOLport di Marudi, Sarawak.
Insiden ini telah meragut nyawa kesemua penumpang pada ketika itu sedang bertugas secara rasmi. Nahas tragis ini membabitkan seorang juruterbang dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Baca Artikel Berkaitan: Nahas Helikopter: Residen Miri Sahkan Juruterbang & 4 Petugas KKM Meninggal Dunia
Dr Ainul Tidak Tunjuk Perubahan Sebelum Meninggal Dunia – Ibu
Terbaharu, ibu kepada salah seorang mangsa, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, iaitu Rogayah Mohd Noor menitipkan doa semoga anaknya ditempatkan di syurga kerana kebaikannya.
“Saya berdoa semoga Dr Ainul ditempatkan di syurga kerana dia seorang anak yang baik.”
Menurut si ibu berusia 69 tahun itu, anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara semasa pulang ke kampung halaman pada minggu sebelum kejadian berlaku. Jelasnya, wajah muka Dr Ainul kelihatan berseri-seri sebelum pemergiannya.
Ibu Pengsan Lepas Dapat Tahu Dr Ainul Mangsa Helikopter Terhempas
Malah sehingga kini, Rogayah masih terkejut dengan berita pemergian anak keempat daripada lima beradik itu. Memetik Sinar Harian, si ibu pengsan sejurus mendengar khabar duka berkenaan.
“Sepanjang percutian itu, kami banyak luangkan masa bersama, keluar berjalan-jalan dan membeli-belah bersama-sama. Tiada langsung perubahan pelik ditunjukkan.
“Itu yang menyebabkan hingga sekarang, saya masih terkejut dan tidak mampu menerima perkhabaran bahawa dia sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
‘Dr Ainul Tak Takut Helikopter, Semangat Kerja Di Pedalaman’ – Bapa
Berbicara tentang perwatakan Dr Ainul yang bersungguh-sungguh mahu membantu individu yang berada dalam kesusahan, bapanya, Kamaruddin Salleh, 69, berkata Dr Ainul bersemangat meskipun ditugaskan di kawasan pedalaman.
“Dr Ainul seorang yang berani, malah dia tidak takut naik helikopter dan sentiasa bersemangat walaupun bekerja di pedalaman.”
Dr Ainul Tak Pernah Mengeluh Bekerja Di Pedalaman Walau Helikopter Selalu Rosak
Walaupun perlu menaiki helikopter yang dikatakan kerap rosak untuk ke kawasan pedalaman, Dr Ainul tidak pernah mengeluh sepanjang dua tahun berkhidmat di Hospital Miri.
“Dia ada bercerita pada kami, ada doktor yang tidak berani naik helikopter kerana takut.
“Tapi dia berani, katanya demi berkhidmat kepada pesakit dan semasa kejadian tadi saya terdetik juga dalam hati, kenapa dia naik juga kalau dah tahu helikopter itu sering rosak. Tapi itulah Dr Ainul dia seorang yang bersemangat,” kongsinya.
Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri merangkap Residen Miri, Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu yang berada di dalam helikopter maut semasa berada di hujung landasan kira-kira jam 3.40 petang.
‘Henti Guna Helikopter Model Yang Sama Dengan Pesawat Terhempas Selagi Tak Tahu Punca Kejadian’ – Lingeshwaran
Dalam perkembangan terbaharu, Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran menggesa KKM menghentikan sementara penggunaan semua helikopter model sama dengan pesawat yang terlibat dalam nahas terbabit.
Ini bagi memastikan keselamatan doktor, jururawat, pegawai KKM dan juruterbang sementara menunggu punca sebenar kejadian berlaku.
Jelas Lingeshwaran yang pernah berkhidmat sebagai Pengarah Hospital Sungai Bakap, keselamatan kakitangan KKM tidak boleh dikompromi hanya kerana perkhidmatan FDS yang perlu diteruskan.
“Meskipun operasi FDS dijalankan oleh syarikat swasta menerusi kontrak kerajaan, tanggungjawab kerajaan tidak boleh dilepaskan. Kerajaan mempunyai obligasi untuk memastikan mana-mana syarikat kontraktor menggunakan pesawat yang mematuhi piawaian keselamatan dan penerbangan tertinggi.”
Baca Artikel Berkaitan: “Kami Sudah Ada Janji Dengan Pesakit” – Tabur Bakti Sehingga Akhir Hayat, Pemilik Kedai Runcit Kongsi Ayat Terakhir Penumpang Sebelum Berlepas






