
PETALING JAYA – Mengimbau memori, penyanyi terkenal Shila Amzah mendedahkan suaminya Ubai sudah merealisasikan impiannya mahu dirinya dilamar di sebuah taman tema air sekitar empat tahun lalu.
Menurut Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 36, impian tersebut merupakan salah satu yang diimpikannya sejak kecil memandangkan banyak yang tidak boleh dilakukan atau dirasai pada zaman kanak-kanak dan remajanya.
“Dia tahu yang saya tidak pernah dilamar dan ada banyak benda tidak pernah saya jalani di zaman kanak-kanak, remaja serta dewasa.
“Buat pertama kalinya dia menjadikan segalanya satu kenyataan iaitu lamaran,” katanya dalam satu hantaran media sosial.
Ujarnya, kehadiran Ubai bukan sahaja melengkapkan kebahagiaannya, malah memberikan ruang untuk dia menjadi diri sendiri tanpa sebarang tekanan.
“Dia memberi saya kebebasan untuk selesa dengan diri sendiri dan meluahkan perasaan tanpa ada sebarang halangan.
“Saya tidak pernah menjangkakan pun untuk dilamar walaupun bukan menggunakan dron (seperti diterima Datuk Seri Vida) tetapi sangat gembira,” katanya lagi.
Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata tersebut tidak menyangka apabila menyedari usia perkahwinan mereka bakal memasuki tahun keempat pada tahun hadapan.
“Saya tidak percaya tahun depan akan menjadi tahun keempat perkahwinan. Kami berkahwin ketika dia berusia 25 tahun dengan jurang umur lapan tahun.
“Pada awal perhubungan kami, ramai orang cakap benda yang negatif tetapi tidak mahu ambil pusing mengenainya sebab cuma kami berdua tahu kenapa mahu berkahwin.
“Alhamdulillah dan terima kasih atas doa-doa yang baik daripada kalian. Saya dapat merasa ada suami, Seth dan Rhea pula dapat papa,” ujarnya
Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli pada 5 Ogos 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira selain memiliki seorang anak lelaki, Seth Uwais hasil perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Dia jadikan kenyataan’ – Ubai realisasi impian lamaran Shila Amzah appeared first on Kosmo Online.






