Shila Amzah terharu Ubai tunaikan impian dilamar di taman tema air

EntertainmentLifestyle
13 Nov 2026 • 12:30 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Shila Amzah terharu Ubai tunaikan impian dilamar di taman tema air

KUALA LUMPUR: Penyanyi Shila Amzah mengakui kehadiran suaminya, Ubai, membawa kebahagiaan tersendiri apabila lelaki itu berjaya merealisasikan impian yang sekian lama disimpan, iaitu dilamar di sebuah taman tema air.

Shila atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 36, berkata, lamaran yang dilakukan kira-kira empat tahun lalu itu cukup bermakna memandangkan dia tidak pernah melalui pengalaman tersebut sebelum ini.

Menurutnya, terdapat banyak perkara yang tidak berpeluang dirasai ketika zaman kanak-kanak, remaja mahupun dewasa, sekali gus menjadikan momen berkenaan sesuatu yang cukup istimewa buat dirinya.

“Dia tahu saya tidak pernah dilamar dan ada banyak perkara yang tidak pernah saya lalui sepanjang zaman kanak-kanak, remaja serta dewasa.

“Buat pertama kalinya, dia menjadikan impian itu satu kenyataan menerusi lamaran,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Tambah pelantun lagu Patah Seribu itu, Ubai bukan sahaja melengkapkan kebahagiaannya, malah memberinya kebebasan untuk menjadi diri sendiri serta meluahkan perasaan tanpa sebarang halangan.

Shila turut mengakui tidak pernah menjangkakan akan menerima lamaran sedemikian, meskipun ia tidak menggunakan dron seperti pengalaman yang pernah diterima usahawan, Datuk Seri Vida.

Bagaimanapun, dia tetap berasa cukup gembira dengan kejutan yang disediakan suaminya itu.

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata berkenaan turut meluahkan rasa tidak percaya apabila usia perkahwinannya bersama Ubai bakal memasuki tahun keempat pada tahun depan.

Katanya, mereka mendirikan rumah tangga ketika Ubai berusia 25 tahun, dengan perbezaan usia lapan tahun antara mereka.

Mengimbas awal perkenalan, Shila berkata, hubungan mereka tidak terlepas daripada pandangan negatif segelintir pihak, namun perkara itu tidak pernah menggugat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

“Pada awal perhubungan kami, ramai orang bercakap perkara negatif tetapi saya tidak mahu ambil pusing kerana hanya kami berdua tahu mengapa kami mahu berkahwin.

“Alhamdulillah dan terima kasih atas doa yang baik daripada kalian. Saya dapat merasai kehidupan berumah tangga, manakala Seth dan Rhea pula dapat merasai kehadiran seorang papa,” katanya.

Untuk rekod, Shila mendirikan rumah tangga bersama Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli pada 5 Ogos 2023.

Hasil perkahwinan itu, pasangan berkenaan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Rhea Akira. Shila turut mempunyai seorang anak lelaki, Seth Uwais, daripada perkahwinan terdahulu.

The post Shila Amzah terharu Ubai tunaikan impian dilamar di taman tema air appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved