liza21/08/2026 - 12:17 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos – Dialog Group Berhad mempunyai ruang kenaikan lebih 24% daripada harga semasa RM1.96 dengan aset baharu dan peningkatan penggunaan kemudahan penyimpanan dijangka menjadi antara pemacu utama pertumbuhan syarikat pada tahun kewangan 2027 (FY2027), menurut penganalisis.
Syarikat itu juga dijangka terus berkembang pada FY2027 selepas mencatat prestasi kukuh pada FY2026 dengan pertumbuhan seterusnya disokong sumbangan daripada aset huluan baharu, terminal penyimpanan serta projek berkaitan tenaga yang bakal mula beroperasi.
Antara aset yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ialah aset Cendramas, kluster Baram, terminal penyimpanan Langsat 3 serta projek unit pemisahan udara di Pengerang, selain peningkatan kapasiti penyimpanan yang dijangka membantu meningkatkan sumbangan perniagaan terminal Dialog.
Aset baharu pacu pertumbuhan FY2027
Menurut CGS International, pertumbuhan Dialog pada FY2027 akan disokong pegangan 25% dalam aset Cendramas yang dijangka mula menyumbang pada akhir September 2026 dan pegangan 70% dalam kluster Baram dengan pengeluaran gas pertama dijangka pada awal 2027.
CGSI turut menjangkakan terminal penyimpanan Langsat 3 berkapasiti 150,000 meter padu mula beroperasi pada September 2026.
“Daripada jumlah itu, 100,000 meter padu disokong perjanjian sewaan selama enam tahun dengan EcoCeres manakala penggunaan baki 50,000 meter padu dijangka meningkat secara berperingkat.
“Selain itu, projek unit pemisahan udara (ASU) berasaskan gas asli cecair (LNG) di Pengerang juga akan menyumbang kepada pertumbuhan Kumpulan,” kata CGSI dalam nota kajiannya.
Firma itu juga menjangkakan prestasi segmen hiliran bertambah baik apabila beberapa projek baharu memasuki peringkat pembinaan yang lebih maju.
CGSI menjangkakan perniagaan terminal penyimpanan Dialog terus mempunyai prospek kukuh, disokong permintaan yang semakin meningkat terhadap rizab tenaga strategik susulan kebimbangan mengenai keselamatan tenaga.
Keadaan itu turut mendorong syarikat minyak dan penyedia kemudahan penyimpanan bebas memperluas operasi mereka ke Asia Tenggara.
CGSI berkata sumbangan aset huluan baharu, pertumbuhan perniagaan terminal penyimpanan dan prestasi hiliran yang lebih baik dijangka menjadi asas kepada pertumbuhan Dialog pada FY2027.
RHB Research turut jangka pertumbuhan berterusan
Sementara itu, RHB Research menjangkakan pertumbuhan Dialog pada FY2027 dipacu penambahan kapasiti di Pengerang, kadar penyimpanan lebih tinggi serta penggunaan yang lebih baik bagi terminal penyimpanan bebas milik kumpulan.
Firma itu mengunjurkan keuntungan bersih teras Dialog meningkat kepada RM636 juta pada FY2027 berbanding RM618 juta pada FY2026, sebelum meningkat kepada RM699 juta pada FY2028 dan RM727 juta pada FY2029.
RHB Research turut melihat penambahan kapasiti dan peningkatan kadar penyimpanan sebagai antara pemacu utama kepada prestasi kumpulan apabila kemudahan baharu mula beroperasi dan mencapai tahap penggunaan lebih tinggi.
Bagaimanapun, RHB Research menyenaraikan kelewatan projek Fasa 3 dan kadar terminal tangki yang lebih rendah sebagai antara risiko utama terhadap prospek Dialog.
Keuntungan FY2026 capai rekod
Dari segi prestasi kewangan, keuntungan bersih teras Dialog meningkat 35% suku ke suku dan 34% tahun ke tahun kepada RM193 juta pada 4QFY2026, sekali gus membawa keuntungan bersih teras FY2026 kepada rekod RM604 juta, meningkat 43% tahun ke tahun.
Peningkatan 4QFY2026 itu didorong terutama keuntungan lebih tinggi daripada perniagaan huluan susulan harga minyak yang lebih tinggi, selain sumbangan lebih baik daripada segmen hiliran selepas kerja penyelenggaraan besar di kompleks petrokimia Kerteh, permintaan lebih tinggi terhadap produk dan perkhidmatan khusus serta sumbangan lebih besar daripada projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).
Dividen meningkat, saranan kekal positif
CGSI turut menyatakan Dialog mengisytiharkan dividen akhir tiga sen bagi suku berkenaan, menjadikan jumlah dividen FY2026 sebanyak 4.7 sen berbanding 3.1 sen pada FY2025. Jumlah itu juga mengatasi unjuran CGSI sebanyak 4.4 sen dan konsensus Bloomberg sebanyak 4.2 sen.
Susulan prospek tersebut, CGSI mengekalkan saranan Tambah dengan harga sasaran RM2.46, manakala RHB Research mengekalkan saranan Beli dengan harga sasaran RM2.44.
Pada harga semasa RM1.96, sasaran CGSI menunjukkan potensi kenaikan 25.5%, manakala RHB Research melihat potensi kenaikan 24.5%. - DagangNews.com






