liza21/08/2026 - 17:53 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 21 Ogos – Bintulu Port Holdings Berhad mencatat hasil operasi RM215.56 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), meningkat 10.6% berbanding RM194.82 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, disokong peningkatan kendalian kargo gas asli cecair (LNG).
Pertumbuhan hasil itu didorong terutamanya prestasi Bintulu Port Sdn Bhd yang merekodkan peningkatan hasil 18.9% kepada RM162.66 juta daripada RM136.78 juta sebelumnya.
Peningkatan berkenaan disumbangkan oleh hasil lebih tinggi daripada pengendalian kargo LNG serta peningkatan jumlah kapal yang singgah di pelabuhan.
Hasil Pelabuhan Utama Meningkat
Sementara itu, Biport Bulkers Sdn Bhd turut mencatat peningkatan hasil 9.1% kepada RM11.21 juta berbanding RM10.28 juta pada suku sama tahun lalu, susulan peningkatan jumlah kendalian bagi aktiviti secara kontrak jangka pendek (spot term).
Bagaimanapun, hasil daripada Samalaju Industrial Port Sdn Bhd turun 12.7% kepada RM41.69 juta daripada RM47.76 juta disebabkan jumlah kargo projek yang dikendalikan lebih rendah sepanjang suku berkenaan.
Walaupun hasil operasi meningkat, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM29.66 juta berbanding RM34.74 juta pada suku kedua tahun sebelumnya.
Operasi Tekan Keuntungan
Kemerosotan keuntungan itu berlaku apabila perbelanjaan operasi meningkat 12.1% kepada RM187.05 juta, berikutan peningkatan kos pembaikan dan penyelenggaraan serta perbelanjaan bahan api susulan kenaikan harga.
Sejajar dengan penurunan keuntungan, pendapatan sesaham (EPS) turut susut kepada 6.45 sen daripada 7.55 sen pada suku sama tahun lalu.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026, Bintulu Port Holdings merekodkan keuntungan selepas cukai RM60.17 juta berbanding RM63.12 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, dengan pendapatan sesaham sebanyak 13.08 sen.
Dividen Interim 3 Sen Sesaham
Kumpulan turut mengisytiharkan dividen interim tunggal peringkat kedua sebanyak 3 sen sesaham yang akan dibayar pada 8 Oktober 2026.
Dengan pengumuman itu, jumlah dividen yang telah diisytiharkan Bintulu Port Holdings bagi tahun kewangan 2026 kini berjumlah 6 sen sesaham.
Prospek Kekal Positif
Bagi tempoh akan datang, pengendalian kargo LNG dan jumlah kapal yang singgah dijangka kekal sebagai penyumbang utama hasil kumpulan, selain pengendalian kargo pukal cecair lain di Bintulu Port serta kargo di Samalaju Port.
Bintulu Port Holdings kekal positif terhadap prospek perniagaannya dan menjangkakan pertumbuhan positif dalam jumlah kendalian kargo sepanjang 2026. - DagangNews.com






