liza20/08/2026 - 11:34 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos – TSH Resources Berhad dikhuatiri berdepan prestasi keuntungan yang lebih lemah pada tahun kewangan 2026 (FY2026) disebabkan tekanan terhadap pengeluaran buah sawit dan prestasi jualan minyak sawit mentah (CPO).
Penganalisis bagaimanapun berpandangan harga CPO yang tinggi masih boleh membantu menyokong keuntungan kumpulan meskipun manfaat itu berkemungkinan terhad sekiranya jumlah pengeluaran sawit lebih rendah daripada jangkaan.
Bagi keputusan suku kedua FY2026 (2QFY26), prestasi TSH dilihat masih berada dalam lingkungan jangkaan, walaupun hasil dan keuntungan bagi separuh pertama tahun kewangan itu susut berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Penganalisis turut melihat kawalan kos dan kecekapan operasi sebagai antara faktor yang membantu TSH mengurangkan kesan daripada harga jualan CPO yang lebih rendah.
Peluang pada harga saham
RHB Research menaikkan saranan TSH kepada ‘Beli’ daripada ‘Neutral’ dengan harga sasaran RM1.45 berbanding harga saham RM1.23 dengan potensi kenaikan sekitar 18%.
Walaupun lebih positif terhadap saham, firma penyelidikan itu tetap menjangkakan prestasi kewangan FY2026 lebih rendah dengan hasil kumpulan diunjurkan turun kepada RM949 juta daripada RM1.06 bilion pada FY2025, manakala keuntungan bersih berulang dijangka susut kepada RM149 juta daripada RM191 juta.
“Kami menjangkakan pengeluaran FFB TSH turun 2.1% kepada 773,426 tan pada FY2026 daripada 790,225 tan pada FY2025. Namun, harga CPO Malaysia dijangka naik pada RM4,400 setan bagi FY2026 sebelum meningkat lagi kepada RM4,500 setan pada FY2027,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Menurut firma tersebut, harga sasaran RM1.45 itu dibuat berdasarkan penilaian 12 kali keuntungan sesaham FY2026 yang dianggap masih munasabah berbanding syarikat perladangan setara, sekali gus memberi ruang kepada harga saham untuk meningkat walaupun keuntungan tahun ini dijangka lebih rendah.
“Kami turut melihat kedudukan kewangan TSH semakin kukuh dengan tunai akhir FY2026 dijangka meningkat kepada RM442 juta daripada RM396 juta pada FY2025, manakala hutang jangka pendek diunjurkan turun kepada RM126 juta daripada RM226 juta.
“Keadaan ini menyokong pandangan kami bahawa saham TSH kini mempunyai nilai yang menarik,” katanya.
MBSB Research kekal berhati-hati
Sementara itu, MBSB Research pula mengekalkan saranan ‘Neutral’ dengan harga sasaran RM1.28, berdasarkan anggaran keuntungan sesaham FY2026 sebanyak 10.3 sen dan penilaian 12.5 kali keuntungan.
Pada harga saham RM1.23, MBSB menganggarkan potensi kenaikan harga hanya sekitar 4.31%. Jika mengambil kira anggaran dividen sebanyak 2.03%, jumlah pulangan kepada pelabur diunjurkan sekitar 6.34% dalam tempoh 12 bulan.
MBSB berkata keputusan 2QFY26 masih menepati jangkaan dengan hasil meningkat 22.3% berbanding suku sebelumnya kepada RM251 juta, walaupun turun 6.6% tahun ke tahun.
Keuntungan teras pula meningkat sedikit kepada RM51.1 juta, menunjukkan kawalan kos membantu TSH mengurangkan kesan daripada harga jualan yang lebih rendah.
Namun, MBSB memberi perhatian kepada pengeluaran FFB yang lebih rendah kerana pada separuh pertama FY2026, pengeluaran FFB turun 7% kepada 374,894 tan, manakala harga purata CPO yang diterima TSH turun 9.6% kepada RM3,556 setan.
Keadaan ini menyebabkan MBSB lebih berhati-hati terhadap pertumbuhan keuntungan TSH.
MBSB Research turut memberi perhatian kepada kenaikan kos eksport CPO di Indonesia apabila jumlah levi dan duti eksport yang perlu dibayar TSH meningkat 76.8% kepada RM45.8 juta selepas kadar levi eksport dinaikkan kepada 12.5% mulai Mac 2026.
Kos eksport yang lebih tinggi itu dijangka memberi tekanan kepada keuntungan kumpulan, dengan MBSB mengunjurkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti TSH turun kepada RM134.6 juta pada FY2026 daripada RM183.4 juta pada FY2025. - DagangNews.com






