amree30/10/2026 - 16:10 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — Hutang Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) dijangka kekal tinggi susulan program pembaharuan pesawat yang memerlukan perbelanjaan modal (capex) terkumpul RM26 bilion sehingga 2030, meskipun penggunaan pesawat lebih baharu dijangka membantu mengurangkan kos.
Menurut agensi penarafan MARC Ratings, jumlah pinjaman kumpulan induk Malaysia Airlines itu meningkat kepada RM10.9 bilion pada akhir 2025 berbanding RM8 bilion setahun sebelumnya, sebahagian besar kerana peningkatan liabiliti pajakan berikutan penambahan pesawat dan enjin.
Tambahnya, program pembaharuan armada itu melibatkan perbelanjaan RM22.3 bilion bagi pembelian pesawat serta bayaran pendahuluan berkaitan penghantaran, manakala baki perbelanjaan merangkumi pelbagai lagi keperluan lain yang dirancang dalam program berkenaan.
"Penggunaan pajakan operasi dan pembiayaan penghantaran pesawat dijangka mengurangkan keperluan pembiayaan awal, namun langkah itu akan meningkatkan pula kadar komitmen kewangan secara berulang kumpulan ini dalam tempoh jangka panjang," jelas agensi berkenaan.
MARC Ratings berkata, kedudukan kewangan MAG masih dibatasi pinjaman berkaitan pajakan yang tinggi serta dana pemegang saham yang didapati negatif RM2.6 bilion pada akhir 2025, sebahagian besarnya berpunca daripada kerugian terkumpul terdahulu.
Bagaimanapun, firma penarafan itu mengakui kedudukan kewangan kendiri MAG menunjukkan peningkatan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, disokong prestasi operasi yang semakin lebih baik serta keupayaan menjana aliran tunai operasi positif secara berterusan.

Jelasnya, aliran tunai operasi MAG berjumlah RM970 juta pada 2025 berbanding RM1.2 bilion pada 2024, terutama akibat peningkatan bayaran penyelenggaraan pesawat dan kos pemulangan pesawat selepas tamat tempoh pajakan.
"Dalam perkembangan berkaitan, kami memberikan penarafan awal MARC-1IS dan AAAIS kepada cadangan program Kertas Komersial Islam (ICP) dan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) MAG yang ada had agregat gabungan RM1 bilion, masing-masing dengan prospek stabil," kata MARC Ratings.
Penarafan itu mencerminkan kepentingan strategik MAG sebagai syarikat induk Malaysia Airlines dan satu-satunya kumpulan penerbangan bersepadu di Malaysia, selain jangkaan sokongan luar biasa daripada pemegang saham tunggalnya, Khazanah Nasional Berhad sekiranya perlu.
Ujar agensi berkenaan, Khazanah turut menyuntik ekuiti kira-kira RM500 juta kepada MAG pada 2025 walaupun kumpulan berkenaan dilaporkan kembali berjaya mencatatkan keuntungan.
MAG merekodkan keuntungan bersih RM137 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), berbanding RM54 juta pada FY24. Kapasiti tempat duduk tersedia (ASK) turut meningkat 15.5% kepada 53.2 bilion pada 2025, melepasi paras sebelum pandemik sebanyak 48.7 bilion.
"Faktor operasi lain turut menunjukkan peningkatan apabila kadar pengisian tempat duduk penumpang naik kepada 81.1% pada 2025 berbanding 80.4% pada 2024 dan 75% pada 2019. MAG menguasai kira-kira 17% trafik penumpang Malaysia," jelas firma berkenaan.
MARC Ratings namun berkata tekanan terhadap hasil penumpang dan pendapatan seunit masih menjadi cabaran meskipun peningkatan kos seunit membantu mengekalkan keuntungan kumpulan. - DagangNews.com






