MATRADE gesa syarikat Malaysia rebut peluang teknologi AI, digital dan hijau di China

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 9:03 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MATRADE gesa syarikat Malaysia rebut peluang teknologi AI, digital dan hijau di China Image from: MATRADE gesa syarikat Malaysia rebut peluang teknologi AI, digital dan hijau di China sarah30/10/2026 - 09:03 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Okt - Perancangan pembangunan China bagi tempoh 2026 hingga 2030 membuka peluang kepada syarikat Malaysia untuk memperluas kerjasama dalam sektor teknologi bernilai tinggi, khususnya kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan teknologi hijau.

 

Menteri Kaunselor (Perdagangan) Kedutaan Besar Malaysia di Beijing merangkap Pesuruhjaya Perdagangan, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE), Niqman Rafaee M. Sahar berkata, peluang itu merangkumi penyumberan strategik, perkongsian kepakaran dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan keupayaan industri tempatan.

 

“Rancangan Lima Tahun Ke-15 China membuka ruang kepada syarikat Malaysia meneroka kerjasama dalam pembangunan teknologi, inovasi industri serta pengkomersialan hasil penyelidikan.

 

“Keutamaan itu turut meliputi penggunaan teknologi dalam sektor industri dan peningkatan produktiviti melalui pendigitalan, di samping peralihan kepada pembangunan hijau,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group Sdn Bhd, Ts. Amir Junaidi Amerrudin, di pejabat MATRADE di Beijing.

 

Niqman berkata, MATRADE terus membantu syarikat tempatan menembusi pasaran China melalui promosi eksport, pemadanan perniagaan, pembangunan rangkaian perdagangan serta khidmat nasihat berkaitan keperluan dan pematuhan eksport.

 

Katanya, syarikat Malaysia juga digalakkan meneroka peluang di bandar peringkat kedua, ketiga dan keempat di China, selain pasaran utama seperti Beijing, Shanghai, Guangzhou dan Shenzhen bagi mempelbagaikan pasaran eksport.

 

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan VFive Group, Datuk Syafiq Abdullah berkata, syarikat itu sedang meneroka kerjasama dengan pemain teknologi China dalam bidang perubatan digital, sistem AI, jentera pertanian pintar dan teknologi pembinaan moden.

 

Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada penyelesaian teknologi yang praktikal, mengambil kira kos pelaksanaan serta kesesuaian dengan keperluan operasi industri tempatan.

 

“Dalam sektor pertanian, penggunaan jentera pintar dan teknologi berasaskan AI berpotensi meningkatkan kecekapan operasi melalui automasi, pemantauan tanaman berasaskan data serta penggunaan input pertanian secara lebih tepat.

 

“Kita juga sedang mengenal pasti peluang perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan penyesuaian penyelesaian teknologi bagi menyokong pembangunan industri di Malaysia,” katanya.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved