Dialog tambah lagi 100,000 meter padu kapasiti terminal Tanjung Langsat, sasar siap pertengahan 2029

LocalBusiness & Finance
2 Nov 2026 • 6:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dialog tambah lagi 100,000 meter padu kapasiti terminal Tanjung Langsat, sasar siap pertengahan 2029 Image from: Dialog tambah lagi 100,000 meter padu kapasiti terminal Tanjung Langsat, sasar siap pertengahan 2029 hamden02/11/2026 - 18:03 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Nov - Dialog Group Bhd (Dialog) merancang menambah kapasiti penyimpanan terminalnya di Tanjung Langsat, Johor sebanyak 100,000 meter padu (m3) bagi produk petroleum menerusi fasa pengembangan terbaharu yang dijangka siap menjelang pertengahan 2029.

 

Pengembangan itu akan meningkatkan jumlah kapasiti penyimpanan gabungan Dialog di Tanjung Langsat kepada lebih 1.1 juta m3 apabila selesai, sekali gus memperkukuh infrastruktur terminal kumpulan berkenaan.

 

Dialog dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPCC) bagi projek itu akan dimulakan serta-merta dan dilaksanakan oleh bahagian EPCC kumpulan.

 

Pengembangan itu melibatkan pembinaan kemudahan penyimpanan produk petroleum dan petrokimia berkapasiti 100,000 m3 yang akan dihubungkan dengan kemudahan marin sedia ada.

 

Langkah terbaharu itu menyusuli pembangunan kapasiti penyimpanan bagi produk tenaga boleh baharu oleh anak syarikat tidak langsung milik penuhnya, Dialog Terminals Langsat (3) Sdn Bhd (DTL3).

 

DTL3 sebelum ini menandakan langkah pertama Dialog dalam kemudahan penyimpanan produk bahan api mampan dan boleh baharu menerusi kapasiti awal kira-kira 24,000 m3 yang dihubungkan dengan kemudahan pemuatan lori serta kemudahan marin sedia ada.

 

Kemudahan penyimpanan produk bahan api mampan

Pada September 2026, DTL3 berjaya menyiapkan dan memulakan operasi komersial tambahan kapasiti penyimpanan sebanyak 150,000 m3 bagi produk boleh baharu dan petroleum, termasuk bahan api penerbangan mampan (SAF) serta minyak sayuran terhidrogenasi (HVO).

 

Keseluruhan kapasiti tambahan 150,000 m3 itu telah dikontrak sepenuhnya, termasuk 100,000 m3 yang diperuntukkan kepada EcoCeres Limited menerusi perjanjian penyimpanan berasaskan prinsip ambil-atau-bayar (take-or-pay).

 

Pada masa ini, DTL3 mempunyai kapasiti penyimpanan operasi kira-kira 380,000 m3 dan menyediakan perkhidmatan kepada pedagang tenaga jangka pendek hingga sederhana serta syarikat multinasional yang menyimpan produk tenaga.

 

DTL3 terletak bersebelahan dua terminal lain milik kumpulan, iaitu Dialog Terminals Langsat (1) Sdn Bhd (DTL1) dan Dialog Terminals Langsat (2) Sdn Bhd (DTL2).

 

Selepas pengembangan terbaharu selesai, kapasiti penyimpanan gabungan ketiga-tiga terminal itu dijangka melebihi 1.1 juta m3.

 

Secara keseluruhan, DIALOG kini merupakan pemilik dan pengendali terminal kedua terbesar di rantau ini dengan kapasiti penyimpanan operasi sebanyak 5.5 juta m3. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved